LONDON: Manchester City bertandang ke Aston Villa esok dengan misi kembali ke landasan kemenangan manakala Chelsea berpeluang melonjak ke puncak Liga Perdana Inggeris, walaupun untuk seketika.
Pendahulu, Liverpool berdepan Tottenham, manakala Manchester United memburu kemenangan liga kedua berturut-turut buat pertama kali musim ini.
Disember lalu, Man City tewas 1-0 di tangan Villa tetapi ia adalah kekalahan terakhir mereka sebelum bangkit memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris keempat berturut-turut.
Kekalahan itu hadir selepas skuad kendalian Pep Guardiola seri tiga kali berturut-turut – keputusan yang dianggap buruk berdasarkan standard City.
Kali ini mereka bertandang ke Birmingham dengan prestasi lebih malang, lapan kekalahan daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan.
Peluang City untuk memenangi gelaran liga buat kali kelima berturut-turut juga pudar selepas deretan keputusan buruk.
Guardiola mengaku bertanggungjawab di atas kekalahan 2-1 di tangan Manchester United, mendakwa dia tidak cukup bagus.
City di tangga kelima, ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan, selepas tewas lima daripada tujuh aksi Liga Perdana Inggeris.
Villa di tangga ketujuh, juga tidak konsisten tetapi City yang dilanda kecederaan tampak tergelincir jauh dari landasan kemenangan.
Arne Slot membuktikan dia adalah pengganti terbaik Jurgen Klopp sebagai pengendali Liverpool dan berada di landasan terbaik untuk memenangi liga musim ini.
Namun mereka mungkin akan memulakan aksi menentang Tottenham pada Ahad di belakang Chelsea, yang memburu kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan liga di Goodison Park bertemu Everton.
Chelsea kini pencabar utama Liverpool dalam saingan liga walaupun pengendalinya, Enzo Maresca merasakan skuad mudanya belum layak bergelar juara.
Perlawanan Liga Perdana Inggeris
Esok
Aston Villa mln Manchester City
Brentford mln Nottingham Forest
Ipswich mln Newcastle
West Ham mln Brighton
Crystal Palace mln Arsenal
Ahad
Everton mln Chelsea
Fulham mln Southampton
Leicester mln Wolves
Manchester United mln Bournemouth
Tottenham mln Liverpool
– AFP