SIBU: Penjara Pusat Sibu (PPS) telah menganjurkan Program Pengujian Iqra dan al-Quran Peringkat Prospek PPS di Dewan Program Pembangunan Insan PPS, semalam.
Program tersebut disertai oleh seramai 11 orang prospek lelaki dan lima prospek wanita dalam pengujian bacaan Iqra dan al-Quran.
Menurut Pengarah PPS, Mohd Rusli Abd Rahman program tersebut bertujuan membantu prospek penjara dalam meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dengan baik.
Katanya, melalui inisiatif ini pihak penganjur berharap dapat memberi galakan kepada prospek agar dapat membaca Iqra dan al-Quran dengan betul.
“Peserta adalah di kalangan prospek yang menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi bacaan sepanjang mengikuti kelas Bacaan Iqra dan al-Quran semasa menjalani hukuman di dalam penjara,” katanya.
Beliau berharap program tersebut memberikan manfaat yang besar kepada peserta dan mempersiapkan mereka untuk kembali ke masyarakat dengan lebih bersedia dan berilmu serta dapat memberi contoh kepada prospek yang lain dalam melakukan proses perubahan positif pada diri.
“Objektif utama program ini termasuklah meningkatkan keupayaan prospek yang lemah dalam bacaan Iqra dan al-Quran, mencungkil bakat terpendam dalam kalangan prospek untuk terlibat aktif dalam program agama di dalam masyarakat serta menjayakan program pemulihan dengan pendekatan yang menarik,” katanya.
Dalam pada itu, pserta program menyatakan harapan mereka untuk dapat meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dan menerapkan nilai-nilai yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Mereka juga berharap agar program seperti ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai individu di penjara untuk mendalami ilmu agama dan memperbaiki diri mereka.
Dengan pelaksanaan program seperti ini, diharapkan dapat memberi impak positif kepada kehidupan prospek penjara dan meningkatkan penghayatan mereka terhadap bacaan al-Quran.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada prospek yang terlibat sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka dalam bacaan Iqra dan al-Quran.
Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan dan Pemasyarakatan PPS Ku Hakimi Ku Halim, Ketua Unit Agama Ustaz Abdul Qohar, Ketua Unit Program Pembangunan Insan Salbiah Hassan Ketua Unit PPI serta warga kerja Penjara Pusat Sibu.
Oleh Akun Giman