LIMBANG: Pencapaian dan kejayaan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Limbang menangani isu dan cabaran merupakan hasil kerjasama warga kementerian itu dan pengamal media.
Ketua KPDN Bahagian Limbang Mohd Hazwan Basrol berkata, kementerian itu sangat menghargai sumbangan dan jasa media di Limbang khususnya dalam membantu jabatan itu menyalurkan maklumat penting kepada masyarakat setempat.
“Pencapaian KPDN Limbang dalam menangani isu dan cabaran sepanjang tahun ini adalah daripada kerjasama semua pegawai dan liputan oleh rakan media juga sangat membantu dalam memberi maklumat kepada orang awam,”katanya kepada media hari ini.
Katanya, KPDN Limbang akan terus komited dalam menangani isu dan melindungi hak pengguna di tahun mendatang dan mengharapkan kerjasama semua pihak bagi membantu bersama demi memastikan suasana perniagaan yang kondusif.
KPDN Limbang tambahnya akan terus menjalinkan kerjasama yang lebih erat bagi memastikan KPDN dapat menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.
“Melalui hubungan yang baik ini, ia dapat membantu KPDN untuk menyampaikan maklumat yang tepat mengenai keperluan masyarakat di daerah ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, satu majlis makan malam KPDN Cawangan Limbang dan pengamal media telah diadakan semalam bagi menghargai sumbangan rakan dan pengamal media, tahun ini.
Turut memeriahkan program, wakil Ketua KPDN Bahagian Limbang Khadaffi Biansing.