KUCHING: Pasukan petugas Pendaftaran Lesen dan Permit Perniagaan telah dibentuk untuk membantu lebih banyak usahawan wanita dan belia yang belum mendaftar, mendaftarkan perniagaan mereka, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurutnya ramai usahawan wanita dan belia yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perniagaan mikro, dari rumah termasuk perniagaan dalam talian yang belum mendaftarkan perniagaan.
Justeru pasukan petugas akan berinteraksi dengan usahawan yang tidak berlesen pada Julai, bermula di Kuching terlebih dahulu, katanya pada sidang media mengenai Pasukan petugas bagi Pendaftaran Lesen dan Permit Perniagaan di Wisma Wanita di sini semalam.
“Mereka yang tidak mendaftarkan perniagaan dan tidak mempunyai lesen perniagaan menjadikan mereka banyak yang tidak dapat memohon bantuan perniagaan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan dan negeri seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Berdasarkan tinjauan Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Fatimah mendedahkan ramai usahawan tidak berpeluang memohon bantuan kewangan tersebut.
Memetik contoh pada 11 Jun lalu, Fatimah berkata sebanyak 903 permohonan BKSS dari Dalat telah diterima, namun hanya 88 permohonan atau 9.7 peratus diluluskan.
“Bagi daerah Subis, daripada 829 pengusaha yang tidak memiliki lesen perniagaan, 552 atau 67 peratus daripadanya adalah pengusaha wanita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat.
Berikutan itu, Fatimah bertegas pasukan petugas untuk perkara tersebut harus ditubuhkan segera agar mereka yang belum berdaftar dapat dibantu melalui platform betul.
Fatimah akui lagi isu tidak mendaftar lesen perniagaan bukanlah masalah baharu di kalangan usahawan wanita tempatan PKS di negeri ini.
“Isu ini menjadi masalah berikutan ada di kalangan usahawan beranggapan tidak menyedari keperluan dan kepentingan mendaftarkan perniagaan mereka atau memiliki lesen perniagaan serta tidak mengetahui syarat dan prosedur pendaftaran perniagaan terutama di kalangan penjaja dan peniaga di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Selain itu Fatimah memberitahu alasan lain mereka masih selesa menjalankan perniagaan kecil, perniagaan sambilan dan perniagaan dalam talian serta tidak mempunyai modal untuk mendaftarkan perniagaan, tidak mempunyai premis tetap dan tidak mahu membayar cukai perniagaan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Persepsi serong mengenai perniagaan dalam talian tidak perlu didaftarkan kata Fatimah adalah salah kerana usahawan terbabit perlu memandang ke arah sisi positif ia adalah keperluan kini.
Jelas Fatimah, pasukan petugas akan dianggotai berbagai agensi termasuk JWKS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Mintred), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) , LHDN, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centex), Dewan Bandar Utara Kuching (DBKU), pihak berkuasa tempatan dan pegawai daerah.
Oleh Diyana Samsuddin