Oleh: Rosani Hiplee
ADA ketikanya seseorang individu itu ingin bermonolog, atau bercakap dengan dirinya sendiri. Terutamanya bagi individu penulis yang mudah diasak oleh jiwanya untuk menyurat segala apa-apa yang tersirat dari dalam dirinya. Fasa sedemikian akan membuka ruang untuk diri hanyut dalam situasi yang lebih peribadi. Dalam berhadapan dengan dunia kendiri tersebut, beberapa hal akan bersipongang dari dalam dirinya. Segala yang dialami pun menjadi perenungan khusus yang nantinya akan mencetuskan suatu pemikiran dan mungkin juga suatu konflik batin. Misalnya, suatu pandangan hidup atau aforisme yang akan menemukan dirinya tentang makna di sebalik kejadian dalam hidup yang dijalani.
Individu penulis memiliki indera yang peka pada elemen yang manusiawi dan alamiah. Tatapan penulis tidak menghala pada objek secara tuntas, sebaliknya menelusi dari sisi pemikiran yang lateral. Hal ini telah membawa khalayak pembaca untuk menaakul karya yang diolah penulis dengan ralit dan pegun. Misalnya, penulis tidak melihat matahari sebagai pemberi cahaya pada alam semata-mata tapi akan menyinonimkannya dengan individu yang tulus berkorban seperti ibu pada anak-anak dan suaminya.
Nukilan sajak yang berjaya pasti mampu membawa pembaca untuk mengalir bersama-sama karya yang diciptakan. Maka, penulis yang hanyut dalam arus tema dan persoalan-persoalan yang diungkapkan perlu berani untuk berenang ke dasarnya agar pembaca dapat menikmati segala decur rasa dan percik fikir penulisnya dengan lebih menyeluruh.
Oleh itu, syabas kepada penulis-penulis muda seperti Nur Ashikin, Niniefadzillea Iswandi dan Adie Abd Gani kerana sajak mereka telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akhbar Utusan Sarawak pada hari Khamis yang lepas. Mudah-mudahan segala ungkapan yang dihanyutkan dalam sajak akan mengalirkan sesuatu ke jiwa pembaca yang dibawa berenangan ke muara tamsilan.
Sajak-sajak yang ditulis oleh penulis muda ini seolah-olah sangat dekat dengan citra kehidupan yang manusiawi. Justeru, ketiga-tiga buah sajak yang disiarkan tersebut mengalunkan riak-riak kecil perasaan dan gagasan yang menyeluruh tentang pengalaman serta pengamatan kendiri. Kesemua sajak tersebut seperti berusaha menyusuri sungai kehidupan yang berliku tapi mendamaikan. Mudah-mudahan khalayak pembaca menemukan kesegaran yang menjanjikan ketenangan.
Sajak “Penghujung Rindu” oleh Nur Ashikin bertemakan rindu yang fitrah. Sajak ini dialiri dengan desah rindu penulis yang tertahankan kerana orang yang dirindui sudah tiada.
Pada awal rangkap sajak, penulis hanyut dalam arus rindu yang membawanya ke dasar hiba. Rindu benar-benar melemaskan rutin kehidupannya. Misalnya dalam rangkap-rangkap berikut;
Tatkala rindu menari di celah mimpi,
Segala kenangan menjelma kembali.
(rangkap 1 dan 2, sajak “Penghujung Rindu”)
Menerusi rangkap-rangkap akhirnya pula, penulis tidak ingin terus hanyut dalam arus perasaan rindu dengan menerima apa yang telah terjadi. Penulis tidak mahu terus tenggelam dalam emosi yang tidak keruan pada sesuatu yang jelas sudah berakhir. Misalnya;
Bukanlah derita abadi.
Rindu ini,
Cukup berlabuh disini.
Kerana dia,
Yang pernah bersama.
Kini tiada lagi,
Dan tak akan pernah kembali.
(rangkap 3 hingga 6, sajak “Penghujung Rindu”)
Sajak ini berbentuk bebas dan dibina dalam enam buah rangkap yang pendek. Gaya bahasa sajak ini juga biasa dan kata yang digunakan agak langsung seperti sebuah naratif yang diungkapkan dalam rangkap sajak. Oleh itu, pemilihan kata dalam sajak ini masih memerlukan penelitian kerana penggunaan unsur-unsur persajakan seperti metafora, simile, personifikasi dan lain-lainnya wajar dimanfaatkan bagi memperkukuh tamsilan dan ungkapan sajak agar lebih ampuh dan teguh.
Apabila menulis sajak yang peka pada perasaan hiba atau rindu, sebaik-baiknya ungkapan kata diolah dengan berkias madah dan tanggapan yang ambiguiti agar yang diolah bukanlah sekadar luahan tapi tumpahan rasa. Hal ini penting bagi menyisihkan pengaruh emosi penulis yang boleh melemaskan pembaca. Misalnya dengan ungkapan, “Sepi bersulam duka nan hiba”. Penulis boleh memilih kata duka atau hiba agar perasaan yang digambarkan tidak berlebihan emosinya pada pembaca.
Walaupun penulis hanyut merindu pada awal rangkap, tapi pada rangkap akhir sajak, penulis telah memerikan sisi lain yang lebih mendamaikan diri dengan berhenti merindu. Penulis berhenti drastik merindu kerana kononnya dia yang dirindui sebelum ini telah tiada dan tidak akan kembali lagi, maka hal ini agak paradoks. Dalam berkarya, penulis perlu peka pada suasana hati pembaca agar karya dihasilkan tidak hanyut dalam pemikiran yang cetek. Setidak-tidaknya, penulis mengakhiri rangkap sajak dengan menyatakan sesuatu yang lebih manusiawi sifatnya. Misalnya, menyemai segala kenangan dalam kuntuman doa yang bermekaran indah.
Sajak “Dakapan Mega” oleh Niniefadzillea Iswandi bertemakan perasaan yang manusiawi terhadap kehidupan menerusi citra mega. Pada keseluruhan sajak, penulis hanyut dalam riak-riak keinginan, kesetiaan dan harapan yang dialirinya.
Pada awal rangkap sajak, penulis membina keinginan kecil pada sebuah kehidupan yang dijalaninya. Penulis mengimpikan hasrat yang akan memberikan perlindungan dan kekuatan dalam dirinya untuk menempuh apa jua rintangan. Misalnya;
Aku ingin mengusap lembut kabut pagi
setiap kali terpacak di puncak ardi
perit mendaki dari lembah kukira nanti
walau ranjau sepanjang jalan kutelusuri.
Mega setia mengekori langkah utuh
memayungi dari mentari garang menyuluh
redup bayunya mendakap tubuh
membawa beban pergi menjauh
(rangkap 1 dan 2, sajak “Dakapan Mega”)
Pada akhir rangkap sajak pula, penulis menerima hakikat bahawa kehidupan sebenar itu tidak mudah jika tiada sokongan daripada sebuah impian dan harapan yang pernah disandarkan. Misalnya;
Berat hati mengatur langkah gelisah
meninggalkan alam kembali ke lumrah
mega memahami hati yang menangis resah
hadirnya dingin gerimis menemani jelajah.
(rangkap 3, sajak “Dakapan Mega”)
Pemilihan kata dalam sajak ini sederhana dan bersahaja. Sajak ini berbentuk separa bebas kerana ada keterikatan rima akhir pada setiap baris sajak tapi tidaklah menyerupai rima akhir syair kerana pada rangkap pertama sajak, rima akhirnya tidak sama dengan dua buah rangkap sajak selepasnya. Sajak ini dibina daripada tiga buah rangkap yang sederhana panjangnya bagi menyatakan persoalan yang ada.
Gaya bahasa sajak masih memerlukan penelitian yang lebih rinci agar penyampaian ungkapannya lebih rapi dan tuntas. Justeru penggunaan unsur-unsur persajakan, terutamanya metafora, perlambangan, personifikasi dan lain-lainnya masih perlu diolah dengan lebih terampil bagi memaknakan baris sajak dengan lebih tuntas. Misalnya, kata mega boleh dijalinkan dengan kata sifat yang sesuai agar makna sajak lebih mengalir untuk dinikmati.
Walaupun hanyut dalam tema yang ada, penulis berani untuk berenang ke dasar persoalan-persoalan yang ingin diungkapkan. Cuma adalah lebih baik jika penulis dapat memerikan sifat mega dengan lebih rinci bagi membawa pembaca merenangi makna citranya dengan lebih jelas. Oleh itu disarankan agar penulis mengaitkan mega pada unsur metafora atau personifikasi. Justeru sajak ini juga boleh mengingatkan pembaca pada salah satu sirah Rasulullah, iaitu kisah awan yang memayungi baginda di sepanjang perjalanan pergi berdagang. Maka, citra mega dalam sajak ini mampu memerikan pemikiran yang lateral.
Terakhirnya ialah sajak “Sekeping Pedoman” oleh Adie Abd Gani, sebuah sajak yang bertemakan monolog diri yang cukup peribadi sifatnya. Pada setiap rangkap sajak, penulis bertamsil tentang nilai kehidupan ini. Misalnya;
hidup, kaujadikan
kertas ujian
jawapan kaupilih
bukan salah dan betul
tiada gagal dan lulus
(Rangkap 1 dan 2, sajak “Sekeping Pedoman”)
Pada baris akhir sajak, penulis menyimpulkan bahawa setiap keputusan hidup yang pernah diambil merupakan nilai kehidupan individu yang tuntas. Misalnya;
markah kauterima
selepas semakan
peri mendewasakan
(Rangkap 3, sajak “Sekeping Pedoman”)
Bentuk sajak ini bebas dan dibina daripada tiga buah rangkap yang pendek bagi menyatakan tamsilan penulis. Gaya bahasa sajak ini pun masih memerlukan penelitian semula agar makna kata sajak yang dipilih lebih kukuh unsur pengolahannya. Pemilihan kata sajak mudah difahami. Tetapi penulis masih perlu lebih terampil untuk memanipulasi kata yang lebih tuntas maknanya pada keseluruhan persoalan dan naratif dalam sajak ini.
Pada umumnya, kehidupan ini boleh diibaratkan sebuah sekolah. Bezanya dalam kehidupan sebenar, manusia akan diuji sebelum belajar. Berbanding di sekolah, individu akan diajar sebelum menghadapi ujian. Dalam sajak “Sekeping Pedoman”, penulis cenderung untuk membahaskan persoalan ini. Cuma, olahan pada larik pertama sajak agak kurang rapi. Misalnya, “jangan sesekali / hidup, kaujadikan / kertas ujian”. Pada hakikatnya, kehidupan itu berisi pelbagai ujian yang bakal mematangkan diri individu untuk menilai makna kehidupan ini secara tuntas.
Oleh itu, larik sajak “jawapan kaupilih / bukan salah dan betul / tiada gagal dan lulus” merupakan sebuah ungkapan yang benar dan boleh diterima dengan baik. Justeru dalam kehidupan ini, individu perlu sentiasa berpandangan positif terhadap sebarang cabaran kehidupan yang dijalani. Jika kitaran hidup berada pada skala kegagalan, individu perlu bangkit dengan menunda kejayaan. Begitu juga sebaliknya, apabila berada pada menara kejayaan, individu wajar mensyukuri dengan seadanya. Kehidupan adalah sekolah untuk mendewasakan individu dengan segala cabaran yang ditempuhi. Sesungguhnya, tiada sesiapa pun terlepas daripada ujian dalam kehidupan ini. Kalah atau menang, semuanya adalah ujian yang mendewasakan kemanusiaan dalam diri individu.
Semoga dengan teguran dan saranan yang ada, penulis dapat memahami apa yang mahu disampaikan dengan berlapang rasa dan tanggapan. Rumusnya, ketiga-tiga buah sajak yang dibicarakan tadi masih mempunyai pantulan tamsilannya yang menarik dikongsikan. Sajak “Penghujung Rindu” mengajak pembaca berenang di tepian perasaan. Manakala sajak “Dakapan Mega” dan “Sekeping Pedoman” telah membawa pembaca berenang di dasar gagasan. Semoga para penulis muda ini terus bersedia tampil dengan hasil sajak yang ingin diolahnya dengan memanfaatkan sepenuhnya teknik penulisan sajak yang lebih menyeluruh.
Sesungguhnya, kebolehan dan keberanian Nur Ashikin, Niniefadzillea Iswandi dan Adie Abd Gani dalam menulis sajak wajar diberikan ruang dan peluang yang lebih khusus pembelajarannya. Justeru mereka jelas berkebolehan dalam memperlihatkan nilai kepenyairan diri. Cuma mereka perlu lebih memahami proses penulisan sajak agar olahan sajak lebih mengalir dan menyegarkan tamsilan pembaca. Mudah-mudahan sikap positif teguh menjejaki diri ke jalan kritik yang lebih membina dan terbuka. Syabas dan sukses, selalu!