SIBU: Penganjuran pertandingan pencarian bakat ‘Arena Of Dream’ adalah pentas untuk mempamerkan bakat anak kelahiran Sibu kepada seluruh dunia.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, acara sebegini bukan sahaja membanggakan Sibu tetapi menunjukkan Sibu mempunyai individu yang berbakat kepada dunia luar.
“MPS akan terus menganjurkan acara sebegini bagi menandakan sambutan Krismas pada akhir tahun. Sibu memerlukannya bagi membawa penduduk bandar ini keluar untuk meraikan sambutan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Arena of Dreams 2024 yang berlangsung di Dataran Bandar Sibu Fasa I, malam tadi.
Seramai 12 peserta yang disenarai pendek daripada 33 peserta bertanding pada pertandingan akhir program pencarian bakat terbabit.
Ting menasihatkan para pemenang untuk meneruskan latihan selepas pertandingan kerana mereka akan dipilih untuk membuat persembahan pada Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) tahun depan.
“Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi dengan kerja keras ia pasti boleh dilakukan dan lakukannya untuk menjadi kebanggaan kepada Sibu,” katanya.
Katanya, penduduk Sibu juga harus menantikan 2025 dengan harapan dan berdoa agar ia akan menjadi tahun yang lebih baik.
Sementara itu, Pengerusi penganjur Michelle Law berkata, acara itu mencungkil bakat terpendam penduduk Sibu dalam pelbagai kategori.
“Acara ini lebih daripada pertandingan mencari bakat. Ia adalah platform dan pentas di mana impian, kreativiti digilap dan peluang untuk menyerlahkan bakat yang kadang-kadang diabaikan.
“Pertandingan malam ini bukan tentang persaingan tetapi tentang mempamerkan semangat yang unik dan meneroka potensi untuk mendapatkan keyakinan dan memupuk menyerlahkan peribadi diri,” katanya.
Pertandingan telah dimenangi oleh kumpulan tarian 8DIOS, diikuti Si Qin Wu Yun kedua dan The One Dance Studio ketiga. Tempat keempat jatuh kepada Ling Team sementara Link Martial Arts Theatre di tempat kelima.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPS Mohamed Abdullah Izkandar Roseley, Setiausaha Yong Ing Chu serta yang lain.
Oleh Akun Giman