PADAWAN: Nyukan Yan, salah seorang daripada wanita Bidayuh dari Kampung Semban memakai gelang tembaga di lengan dan betis yang dikenali sebagai ‘Ring Lady’ telah meninggal dunia.
Mendiang yang lebih dikenali sebagai Muk Torres berumur 82 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, Kampung Semban, Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), Jalan Semadang-Jambusan di sini pada 5.00 pagi, semalam.
Ketua Kampung, Kampung Semban, Sagen Adan ketika dihubungi berkata, Nyukan akan disemadikan pada 10.00 pagi esok di tanah perkuburan Kaum Pagan BRS.
”Mendiang meninggal dunia semalam kira-kira 5.00 pagi akibat sakit tua.
”Hari ini kita telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Padawan, Batu 10 sebagai rujukan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak yang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Mendiang meninggalkan tujuh orang anak, 13 cucu dan 27 cicit.
Ketika ditanya berkenaan jumlah ’Ring Lady’ yang tinggal, Sagen berkata mendiang merupakan mantan ’Ring Lady’ memandangkan mendiang sudah lama tidak menggunakan gelang tembaga itu berikutan keadaannya yang uzur.
Sebelum ini, dilaporkan antara ’Ring Lady’ yang lain termasuklah Peluk Abeh, Tawud Luhan dan Singai Nekan serta mendiang Ranyu Daiee yang meninggal dunia pada 2020 dan mendiang Nyadi Dolah yang meninggal dua tahun kemudian telah memakai gelang tembaga seawal usia 10 tahun.
Mereka dipercayai wanita Bidayuh yang terakhir memakai gelang tembaga dipanggil ruyang bagi gelang tangan dan rasung untuk gelang kaki, ia merupakan tradisi wanita Bidayuh Kampung Semban dipercayai digunakan sejak 400 tahun dulu.
Pemakaian gelang tembaga juga menggambarkan kecantikan oleh pemakainya.
Oleh Rynna Sha’erra