KUCHING: Dua wanita malang rugi RM 522,600 akibat menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam yang mengaku sebagai anggota polis di Limbang dan Sri Aman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Maria Rasid berkata, kedua-dua kes dilaporkan pada 20 Jun lalu yang masing-masing wanita Melayu berumur 60 tahun di Limbang dan wanita Cina berumur 42 tahun di Sri Aman.
Menurut Mariia, wanita pertama (di Limbang) merupakan pesara kerajaan yang berasal dari daerah itu diperdaya sebanyak RM516,000 oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Zulkifli Etot’ di Kuantan, Pahang.
“Pada mulanya mangsa dihubungi suspek yang mengatakan sebagai Pegawai Telekom Malaysia (TM) sejak Mac lalu dan suspek mendakwa talian telefon yang didaftarkan atas nama mangsa akan dipotong kerana terlibat dengan kegiatan perjudian online,” ujarnya panggilan itu kemudian disambungkan kepada ‘Sarjan Zulkifli Etot’.
Katanya, suspek mendakwa mangsa menerima dana berjumlah RM200,000 melalui akaun bank dari kegiatan haram dan panggilan daripada Sarjan tersebut disambungkan kepada suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Siti Nur Milah’ yang mengatakan akan melantik pihak Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk menjalankan siasatan dana diterima mangsa.
“Kemudian mangsa diarahkan untuk memindahkan semua wang di dalam akaun simpanan miliknya ke akaun yang diberikan kononnya untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan terhadap dana-dana tersebut,” ujarnya, mangsa telah membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruhan lebih kurang RM516,000 ke 12 akaun bank atas nama individu berlainan yang tidak dikenali di antara 15 April hingga 22 Mei.
Menyedari ditipu Maria berkata, mangsa sedar setelah ‘Sarjan Zulkifli Etot’ tidak menghubunginya semula untuk memaklumkan kedudukan dana akaun bank beliau seperti yang dijanjikan.
Sementara itu, mangsa kedua kata Maria, adalah seorang penjawat awam di Pekan Engkilili, Sri Aman yang terpedaya setelah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Encik Ibrahim” dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai atas sebuah syarikat yang didaftar atas nama mangsa.
“Kemudian panggilan telefon telah disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Sarjan Shahrizal” dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuantan,” katanya mangsa juga membuat penafian berhubung syarikat atas nama beliau itu.
Maria memberitahu panggilan itu kemudian disambungkan kepada “Inspektor Daniel” iaitu Pegawai Bukit Aman. “Inspektor Daniel” seterusnya mendakwa mangsa disyaki terlibat dan mempunyai kaitan dengan seorang suspek yang ditangkap bersabit kes dadah dan pengubahan wang haram.
Tambahnya, ‘Inspektor Daniel’ juga mengatakan mangsa disyaki menjual kad ATM dan menerima komisyen sebanyak RM228,000 dari kegiatan suspek yang ditangkap itu dan kemudian taliannya telah disambungkan lagi kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Hor Kai Xin” iaitu Pegawai AMLA, Bank Negara Malaysia.
“Suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang dari akaun bank miliknya ke satu akaun yang diberikan untuk tujuan siasatan dan membersihkan akaun milik mangsa,
“Pada hari yang sama, mangsa memindahkan wang berjumlah lebih kurang RM6,600 ke satu akaun bank atas nama individu tidak dikenali.
“Kemudian mangsa menyedari telah ditipu selepas memindahkan wang kepada suspek dan tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Oleh Diyana Samsuddin