TAN Sri Muhammad Ibrahim ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia.
Baru-baru ini, beliau yang banyak dilantik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat antarabangsa selain pro canselor Universiti Selangor dijemput untuk memberikan pandangan bagi meningkatkan lagi kemajuan ekonomi Selangor.
Beliau mencadangkan agar Selangor mewujudkan Majlis Penasihat Ekonomi Selangor.
Untuk rekod prestasi, ekonomi Selangor menerajui sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang terbesar, iaitu sebanyak 25.9 peratus.
KDNK Sarawak pada tahun lepas ialah 9.1 peratus.
Namun pada penulis, Premier Sarawak juga perlu memberikan perhatian akan penubuhan ini bagi melonjakkan lagi daya saing ekonomi negeri dan pembangunan ekonomi yang lebih terancang.
Sebagai sebuah negeri terbesar di Malaysia, Sarawak memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor sumber asli seperti minyak, gas, dan tenaga hijau.
Namun, potensi besar Sarawak sering kali berhadapan dengan cabaran pengurusan ekonomi, ketidaksamaan sosioekonomi, dan daya saing global.
Oleh itu, strategi ekonomi tersasar melalui Majlis Penasihat Ekonomi Sarawak (MPES) menjadi keperluan kritikal untuk menangani cabaran ini.
Konsep dikemukakan oleh Muhammad IbrahimĀ ini disesuaikan dengan keperluan dan acuan Sarawak.
STRATEGI EKONOMI BERSASAR
Strategi ekonomi bersasar melibatkan perancangan berdasarkan potensi unik Sarawak.
Negeri ini memiliki sumber asli yang kaya seperti minyak, gas, kayu balak, dan tenaga hijau, serta sektor pelancongan yang berpotensi tinggi.
Namun, statistik menunjukkan Sarawak masih menghadapi jurang pembangunan.
Sebagai contoh, kadar kemiskinan mutlak di Sarawak dilaporkan pada kadar 10.8 peratus manakala kadar kemiskinan relatif ialah 16.6 peratus pada 2022.
MPES misalnya boleh memperkenalkan strategi pembangunan yang lebih menyeluruh seperti memperkasakan lagi sektor tenaga hijau dan Sarawak berpotensi menjadi peneraju tenaga hidroelektrik dan solar di rantau ASEAN.
Projek seperti Hidro Elektrik Baleh menunjukkan kemampuan Sarawak untuk memanfaatkan sumber ini.
Dalam pembangunan pelancongan tempatan, Sarawak terkenal dengan ekopelancongan seperti Taman Negara Mulu dan warisan budaya unik kepelbagaian etnik dan warisan.
Strategi promosi yang lebih agresif boleh meningkatkan pendapatan pelancongan.
DASAR PROAKTIF DALAM EKONOMI
Dasar ekonomi proaktif sangat penting untuk menjangka cabaran dan memanfaatkan peluang yang ada.
MPES dapat berfungsi sebagai badan yang membangunkan dasar dengan pendekatan proaktif, termasuk dasar untuk menangani perubahan ekonomi global dan menyesuaikan diri dengan keperluan tempatan.
Sebagai contoh, Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak telah mengenal pasti sektor teknologi digital sebagai tonggak utama pembangunan.
Dengan ada MPES, maka ia boleh memperkukuh lagi strategi ini melalui inisiatif pendigitalan ekonomi luar bandar.
Dengan hanya 60.1 peratus liputan internet di kawasan pedalaman Sarawak (MCMC, 2021), pelaburan dalam infrastruktur digital dapat memastikan penyertaan lebih ramai rakyat dalam ekonomi digital.
Selain itu, dasar perlindungan tenaga kerja juga perlu digerakkan secara dinamik dasar ekonomi proaktif boleh melibatkan latihan semula tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri teknologi tinggi.
Malah, kedudukan Sarawak sesuai membangunkan industri maritim dengan menggunakan pelabuhan-pelabuhan yang sedia ada.
NASIHAT PAKAR DAN BEBAS
Keputusan ekonomi yang berkesan memerlukan pandangan pakar dan nasihat bebas untuk memastikan dasar yang lebih tepat dan relevan.
Sarawak boleh memanfaatkan MPES sebagai platform untuk menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa dalam bidang seperti tenaga, teknologi, dan ekonomi hijau. Dengan kepakaran ini, MPES dapat membantu merangka strategi pembangunan yang inovatif, berkesan, dan mampan.
Input pakar juga memastikan keputusan dasar berdasarkan bukti dan analisis, meningkatkan kepercayaan serta keberkesanan pelaksanaannya.
Sebagai contoh, Dasar Karbon Rendah dengan ada potensi Sarawak dalam pemerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pakar boleh membantu merangka strategi untuk menyertai pasaran karbon global yang dianggarkan bernilai AS$7 bilion menjelang 2030, manakala penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) pula dianggar AS$14.51 bilion pada 2032.
Begitu juga aspek pembangunan tenaga kerja dan pakar dalam bidang pendidikan dan latihan boleh membantu menyusun program latihan yang relevan untuk menyokong pembangunan sektor ekonomi baru.
PENINGKATAN PENYELARASAN, KERJASAMA
Kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ekonomi.
Dalam konteks Sarawak, penyelarasan antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta, dan masyarakat adalah penting bagi mengelak projek pembangunan luar bandar sering tergendala akibat isu penyelarasan pentadbiran.
Maka, MPES boleh berperanan sebagai penyelaras utama untuk mengelak pertindihan peruntukan. Misalnya, projek infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air bersih perlu dirancang secara sistematik untuk mengelak ketirisan.
Selain itu perlu dilihat semua aspek menyatukan sektor swasta dan masyarakat melibatkan kerjasama yang mampu mempercepatkan pelaburan dalam sektor strategik seperti pelancongan dan tenaga hijau.
PENGUKUHAN KEYAKINAN PELABUR
Keyakinan pelabur adalah elemen kritikal untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan merangsang ekonomi. Statistik menunjukkan bahawa CCS antara tertinggi di Malaysia (MIDA, 2023).
Namun, untuk mengekalkan momentum ini, langkah-langkah pengukuhan keyakinan pelabur perlu dilaksanakan.
MPES misalnya dapat membantu melalui ketelusan dalam pengurusan ekonomi, pelaporan berkala mengenai kemajuan projek pembangunan dan pelaburan boleh meningkatkan keyakinan pelabur.
Insentif pelaburan seperti penawaran insentif cukai kepada pelabur dalam sektor tenaga hijau dan teknologi boleh menarik lebih banyak pelaburan asing.
Selain itu terdapat keperluan untuk pengurangan risiko birokrasi dan proses pelaburan untuk menjadikan Sarawak lebih kompetitif di peringkat global.
KESAN POSITIF PENUBUHAN MPES
Penubuhan MES boleh membawa kesan besar kepada pembangunan Sarawak yang mampu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Dengan perancangan ekonomi yang lebih berfokus, MPES akan dapat memacu pertumbuhan KDNK Sarawak yang lebih tinggi daripada purata kebangsaan.
Pengurangan ketidaksamaan dengan peningkatan program pembangunan luar bandar melalui MPES dapat mengurangkan jurang pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Ini seterusnya membawa peningkatan terhadap kesejahteraan rakyat, maka dengan pembangunan infrastruktur dan peluang pekerjaan yang lebih meluas, taraf hidup rakyat Sarawak akan menjadi lebih baik.
Sesungguhnya, terdapat pertimbangan dan keperluan agar Majlis Penasihat Ekonomi Sarawak diwujudkan sebagai platform strategik untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri lebih terancang dan berdaya saing.
Dengan pendekatan berdasarkan strategi berfokus, dasar proaktif, nasihat pakar, penyelarasan yang baik, dan usaha pengukuhan keyakinan pelabur, MPES boleh menjadi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan global, Sarawak memerlukan badan seperti MPES untuk mengoptimumkan potensi ekonominya, mengurangkan ketidaksamaan sosioekonomi, dan memastikan pembangunan yang mampan serta inklusif.
Keberadaan MPES bukan sahaja relevan, malah kritikal untuk memastikan Sarawak terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan bersaing di peringkat global.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).