HARI ini perbincangan sejarah dalam wacana ini cuba pergi luar dari sejarah Sarawak.
Topik hari ini ada kaitan dengan apa yang berlaku sekarang iaitu Pulau Batu Puteh.
Pulau ini juga dinamakan sebagai Pedra Branca iaitu nama yang diberi oleh pelayar Portugis yang bermaksud batu putih. Pedra Branca ialah sebuah pulau kecil yang terdiri daripada himpunan batu granit.
Panjang pulau ini adalah 137 meter dan lebarnya pula kira-kira 60 meter.
Pulau ini terletak kira-kira 24 batu nautika ke timur Singapura.
Pulau ini lebih dekat dengan Malaysia iaitu 7.7 batu nautika ke selatan negeri Johor.
Walaupun saiz pulau ini kecil tetapi ia menjadi tuntutan antara Malaysia dan Singapura.
Pulau ini menjadi satu isu yang diperkatakan di dalam media sosial dan media perdana hari ini.
Ia juga menjadi topik perbincangan hangat dalam Dewan Rakyat pada minggu lepas.
Dalam wacana kali ini perbincangan akan cuba melihat sejarah pulau tersebut, seterusnya akan dibicarakan tentang kronologi tuntutan dari Kerajaan Malaysia dan Singapura.
KESELAMATAN
Pada era-era di mana laut merupakan satu kawasan penting untuk perjalanan perdagangan, pergerakan manusia, mendapat hasil laut dan ketenteraan, maka perlu ada satu tatacara keselamatan kepada pergerakan jalan laut ini.
Begitu juga perlunya satu rumah api yang mampu memberi panduan kepada pergerakan kapal-kapal ini di lautan yang luas.
Atas sebab itu British cuba mencari satu kawasan untuk menjaga keselamatan pergerakan kapal-kapal dagang.
Di persekitaran perairan Johor dan Singapura terdapat beberapa pulau yang berpotensi untuk dijadikan kawasan rumah api termasuk Pedra Branca.
Cadangan ini bermula apabila seorang pelayar dan hidrografer British iaitu Kaptain James Horsburgh meninggal dunia di Canton pada 1836.
Oleh kerana sumbangan Horsburgh amat besar dalam mengukur sempadan kelautan, maka para pedagang British dan asing di Canton (Guangzhou) mencadangkan sebuah bangunan rumah api dibina untuk memberi penghormatan dan peringatan kepada sumbangan tokoh ini.
Akhirnya pihak British mengambil keputusan agar Pedra Branca seharusnya menjadi kawasan untuk membina rumah api tersebut.
PEMBINAAN
Rumah api ini dimulakan pada 1847 di pulau tersebut.
Pembinaan rumah api ini mengambil masa selama empat tahun untuk siap.
Sebagai mengenang jasa Horsburgh ini juga maka rumah api ini dinamakan dengan nama beliau.
Malah pedagang British and asing di Canton telah melakukan usaha mengutip derma bagi tujuan pembinaan rumah api untuk mengenang jasa Horsburgh.
Bagi mengenang jasa beliau ini maka batu asas untuk membina rumah api itu dilakukan pada 24 Mei 1850 oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Major General William John Butterworth.
Gabenor tersebut bersama-sama dengan Panglima Tertinggi Tentera Laut British, beberapa konsulat sing dan penduduk tempatan berlayar menuju ke Pedra Branca untuk tujuan upacara tersebut.
Rumah api ini telah siap pada tarikh 15 Oktober 1851.
Satu notis makluman telah dikeluarkan mengenai hal ini dengan kenyataan bahawa lampu akan dinyalakan di rumah api itu bermula pada senja sehingga naiknya matahari.
Kapal-kapal melalui perkhidmatan rumah api ini juga dikenakan membayar cukai rumah api mengikut berat tan kapal tersebut.
Bayaran cukai ini dibuat berdasarkan Indian Act VIII 1854, dan dipinda semula pada 1908.
Bayaran rumah api ini juga dibantah oleh para pedagang tetapi pihak kerajaan British tetap mengenakan cukai tersebut.
Namun demikian cukai ini tidak tertakluk kepada pedagang selat dan penduduk tempatan.
LARI
Salah satu kejadian yang berlaku pada awal pembukaan rumah api itu adalah kes tahanan melarikan diri.
Kejadian berlaku pada 26 Mei 1853 apabila kapal dagang British Countess of Winton, belayar dari Shanghai ke Liverpool.
Apabila kapal tersebut menghampiri Pedra Branca, seorang tahanan dari kapal tersebut yang membunuh kaptain kapal telah mengambil peluang terjun ke laut untuk melarikan diri.
Walaupun ada usaha menghalang beliau tetapi gagal untuk menangkap beliau semula.
Selain kes pembunuhan terdapat juga kes serangan lanun di kawasan sekitar Pedra Branca.
Kes yang berlaku pada 30 Mei 1854 melibatkan rompakan oleh lanun ke atas kapal Chochin-China yang dipandu oleh Ang Kee Jee sebagai nahkodanya.
Walaupun semua barang-barang dalam kapal tersebut dirampas tetapi anak kapalnya tidak dicederakan.
Terdapat juga kapal yang mengalami kerosakan apabila melalui perairan yang berdekatan dengan rumah api tersebut.
Kejadian yang berlaku pada awal Oktober 1956 melibatkan sebuah kapal Sweden yang terlanggar objek yang tiba-tiba timbul dalam kegelapan berdekatan dengan rumah api tersebut.
TUNTUTAN
Pada pasca kemerdekaan, perairan di Pedra Branca menjadi tarikan untuk melakukan aktiviti menangkap ikan.
Terdapat pelbagai jenis ikan bersaiz besar seperti tenggiri boleh didapati di perairan pulau tersebut.
Selain soal ikan, pasca kemerdekaan membawa episod baharu dalam hubungan Malaysia-Singapura berkenaan dengan pulau tersebut.
Ia bermula apabila kerajaan Malaysia mengeluarkan peta pada 21 Disember 1979 yang bertajuk “Perairan Wilayah dan Sempadan Pelantar Benua Malaysia”.
Peta ini meletakkan Pedra Branca sebagai sebahagian wilayah kedaulatan Malaysia.
Hal ini membawa kepada pengeluaran nota diplomatik dari kerajaan Singapura pada 14 Februari 1980 untuk mencabar tuntutan Malaysia itu.
Nota diplomatik ini disambung pula dengan pertukaran surat-menyurat antara kerajaan.
Selepas itu diikuti dengan perbincangan antara kerajaan pada 1993 dan 1994.
Pada Februari 2003, kedua-dua negara bersetuju merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk meminta mahkamah tersebut menentukan sama ada kedaulatan ke atas Pedra Branca, Middle Rocks (Batuan Tengah), dan South Ledge (Tubir Selatan) adalah milik Malaysia atau Singapura.
Mahkamah ini mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dan memberi keputusannya pada 23 Mei 2008.
Keputusan mahkamah ini menyebelahi Singapura dengan 12 kepada empat untuk mengiktiraf Pedra Branca sebagai hak Singapura, manakala Middle Rocks pula disahkan milik Malaysia dengan undian hakim 15 kepada 1.
Mahkamah selanjutnya memutuskan dengan undian 15 kepada 1 bahawa kedaulatan ke atas South Ledge adalah milik negara di perairan wilayah tempat ia berada.
Sejarah Pedra Branca menunjukkan ia mempunyai kepentingan tersendiri walaupun ia hanyalah terdiri daripada himpunan batu granit.
Kepentingannya dapat dilihat dengan perkembangan sejarah sehingga membawa kepada tuntutan Malaysia dan Singapura kepada pulau tersebut.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Sains Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sainsi Sosial dan Kemanusian, Universiti KebangsaanMalaysia (UKM).