MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui bahawa dia tidak menjangka kejatuhan mendadak dalam prestasi Manchester City apabila mereka bolos dua kali pada lewat perlawanan dan akhirnya tewas 1-2 kepada Manchester United awal pagi tadi.
City hanya menang sekali dalam 11 perlawanan dalam semua pertandingan, dengan lapan kekalahan.
Selepas empat gelaran Liga Perdana yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pasukan sebelum ini, peluang City mempertahankan gelaran tampak akan berakhir sebelum Krismas ini.
Barisan pemain Guardiola kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool, yang mempunyai lebih satu perlawanan selain turut berada di luar kelompok Liga Juara-Juara iaitu di tangga kelima.
“Tiada apa untuk saya pertahankan, saya bos, saya pengurus. Saya perlu mencari penyelesaian dan saya tidak dapat menemui jalan itu.
“Ini adalah kelab besar, apabila anda kalah lapan daripada 11, ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Apa yang boleh saya katakan? Jadual perlawanan memang sukar, pemain yang cedera? Tidak.”
“Saya bos, saya pengurus dan saya tidak cukup bagus. Ia semudah itu,” katanya.
Kekalahan terbaru City adalah salah satu yang paling menyakitkan kerana juara Inggeris itu hampir meraih kemenangan yang sangat diperlukan ke atas jiran setempat mereka, hasil tandukan Josko Gvardiol pada separuh masa pertama.
Namun hantaran lemah Matheus Nunes memberi peluang kepada Amad Diallo dan pemain tengah Portugal itu kemudian menjatuhkan pemain sayap United dalam usahanya untuk menebus kesalahan.
Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-88.
Diallo kemudian melengkapkan kebangkitan luar biasa dan menambah derita yang semakin meruncing bagi kelab yang mendominasi bola sepak Inggeris dalam dekad lalu.
“Saya duduk di sini dalam sidang media ini kerana apa yang kami lakukan pada masa lalu.
“Saya tahu bahawa musim ini akan menjadi sukar. Sejak dari awal, saya sudah berkata banyak kali. Walaupun ketika kami sedang menang,” tambah Guardiola. – AFP