PETRA JAYA: “Kami sedia menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga arwah Nurul Asikin Lan”, kata Dato Sri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, berkata pihak kementerian sentiasa bersedia menawarkan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa, namun menghormati keputusan mereka sekiranya perkhidmatan itu tidak diperlukan.
“Biasanya untuk kes seperti ini, kita tawarkan khidmat kaunseling tapi terpulang kepada keluarga sendiri. Kalau tidak perlu, kita hormati keputusan mereka.
“Kita biarkan ada tempoh bertenang untuk mereka dulu. Keluarga masih dalam proses memahami apa yang berlaku.
“Kalau diperlukan, kita akan bersiap sedia dengan kaunselor kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat serta menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris ahli keluarga arwah Nurul Asikin Lan di perumahan Darul Hana, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong turut menyampaikan dua bentuk bantuan kepada keluarga mangsa, iaitu Bantuan Pemberian Ehsan (PEKA YKN) dan sumbangan khairat di bawah Parlimen Santubong.
Dalam pada itu, Nancy turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes yang melibatkan keselamatan masyarakat dan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian.
“Saya harap kita masing-masing menjaga diri dan anak-anak untuk pastikan kita berada dalam keadaan selamat.
“Jangan terlalu mudah mempercayai orang lain. Kita tidak tahu apa yang boleh berlaku,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal