PETRA JAYA: “Arwah selalunya akan memaklumkan kepada ibunya apabila keluar dari rumah,” kata bapa kepada arwah Nur Asikin Lan, 28, yang disyaki dibunuh selepas menghilangkan diri selama lebih seminggu.
Menurut bapa arwah, Lan Endor, 53, anak sulungnya itu akan berkata, “Oh Mak, kamek keluar makan” (Oh Mak, saya keluar makan).
Katanya, ibunya akan memberi pesanan ringkas kepada arwah, “Jangan akhir gilak, esok mok kerja (Jangan lewat sangat, esok mahu kerja).
Lan turut menjelaskan bahawa arwah merupakan seorang yang ceria dalam keluarganya.
Dalam pada itu, Lan berharap agar pihak berkuasa akan mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelaku yang mengambil nyawa arwah anaknya itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan.
“Pihak polis telah menemui mayat yang hampir reput di kawasan longkang di Jalan Setia Raja, Kuching.
“Proses mengenal pasti identiti mayat serta bedah siasat akan dijalankan bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
“Permohonan reman ke atas suspek telah diluluskan selama tujuh hari, iaitu sehingga 22 Disember 2024, oleh Mahkamah Majistret Kuching,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak polis mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana ia akan mengganggu siasatan yang dijalankan.
Pihak polis juga memohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini ke balai berhampiran dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Tan Kian Kok di talian 010-5661576 bagi membantu siasatan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal