SIBU: Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin memberi impak besar terhadap peningkatan isu penipuan dalam talian di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata bahawa dalam era digital kini, internet telah menjadi keperluan asas.
“Ketiadaan liputan internet, walaupun hanya untuk satu jam, dapat menimbulkan pelbagai masalah besar.
“Malangnya, internet bukan sahaja dimanfaatkan oleh pengguna yang bertanggungjawab, tetapi juga oleh penjenayah yang menjalankan aktiviti haram,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu di sini hari ini.
Teo berkata teknologi AI membolehkan penjenayah mencipta video palsu dengan menggunakan wajah dan suara individu terkenal untuk mempromosikan skim pelaburan palsu atau produk yang tidak wujud.
Berdasarkan data terkini sehingga Oktober 2024, katanya, negara telah merekodkan kerugian berjumlah RM1.2 bilion akibat jenayah dalam talian, satu angka yang sangat membimbangkan.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meningkatkan usaha untuk menangani isu ini dengan memadam kandungan berunsur penipuan di media sosial.
“MCMC terus bekerjasama dengan penyedia platform utama untuk memastikan kandungan yang dimuat naik adalah sahih dan bebas daripada unsur penipuan.
“Pada 2022, hanya 242 kandungan sedemikian yang diturunkan. Namun, angka itu melonjak kepada 6,297 pada 2023 dan terus meningkat kepada 56,294 pada tahun ini, terutamanya di platform seperti Facebook,” katanya.
Teo juga menyatakan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dan berharap ia akan mendapat sokongan di Dewan Negara bagi memperkukuhkan kawalan terhadap penipuan dalam talian.
Pada masa sama, beliau menegaskan pentingnya meningkatkan kesedaran masyarakat agar mereka lebih berhati-hati dan tidak mudah menjadi mangsa penipuan.
“Pendidikan mengenai semakan dan pengesahan maklumat menjadi sangat penting untuk melindungi diri.
“Selain itu, program seperti ‘Klik Dengan Bijak’ bertujuan mendidik masyarakat mengenai penggunaan internet secara bertanggungjawab.
“Kempen lain oleh JAPEN (Jabatan Penerangan Malaysia) dan J-Kom (Jabatan Komunikasi Komuniti) turut membantu meningkatkan literasi digital dan kesedaran tentang isu seperti penipuan dalam talian serta buli siber,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan ada usaha kolektif ini, masyarakat akan lebih celik digital dan dapat menghadapi cabaran dunia maya dengan bijak dan selamat.
Oleh TARANI LANTING