SAMARAHAN: Gabungan lapan pelukis terkenal Bumi Kenyalang dalam menjayakan pameran amal ‘Brushes of Joy’, bantu pelajar kurang bernasib baik dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menurut Pengarah Eksekutif Hotel Meritin, Olivia Ting, dana terkumpul melalui program anjuran hotel ini dan Artavern, bakal disalurkan kepada Persatuan Pendidikan D’Wira Kuching dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Serian.
Katanya, antara pelukis terkenal tempatan yang terlibat ialah David Chew, Angelina Bong, Ng Paik San, Clement Jimel, Gerald Goh, Kho Ah Tong, Dexter Lim, dan Nia Latif.
“Mereka menyumbangkan karya seni serta berkongsi ilmu melalui bengkel seni selama dua bulan lalu, yang menarik penyertaan peserta dari pelbagai peringkat umur dan kemahiran,” katanya ketika ditemui pemberita pada program pameran amal ‘Brushes of Joy’ di Artavern, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting yang merasmikan pameran amal ini, menyifatkan usaha ini sebagai simbol keprihatinan dan kesatuan masyarakat dalam membantu golongan memerlukan.
“Kerjasama dan kreativiti yang ditunjukkan oleh semua, termasuk para pelukis, peserta bengkel, dan penyokong, adalah bukti kekuatan komuniti kita. Terima kasih kerana membantu kami mencipta perubahan,” katanya.
Selain hasil seni, pameran ini turut menampilkan persembahan koir Krismas oleh Hope Church Choir serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik tajaan Responsible Borneo Sdn Bhd dan KopiLab Sarawak.
Olivia turut menekankan bahawa pameran ini lebih daripada sekadar platform seni.
“Ia meraikan budaya dan kreativiti Sarawak, mempromosikan negeri ini sebagai hab pelancongan kreatif, dan membuktikan bahawa seni boleh menjadi pemangkin perubahan sosial yang positif.”
Pameran Amal ‘Brushes of Joy’ bukan sahaja menyatukan peminat seni dan dermawan, malah menyerlahkan kuasa seni dalam menginspirasikan keprihatinan dan perubahan bermakna.
Ketika merasmikan program ini, Sebastian Ting turut memberikan berita gembira buat Persatuan Pendidikan D’Wira Kuching dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Serian dengan menderma sebanyak RM5,000 kepada kedua-dua persatuan tersebut.
Karya seni lukisan menggunakan kopi oleh Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo, dan Penyunting Berita Utusan Sarawak, Melvera Munded turut dipamerkan untuk dijual pada program tersebut.
Karya seni kopi milik Gerald Goh yang dinamakan The Samaritan merupakan antara karya yang terawal dijual dengan harga RM1,000.
Pada program sama, seorang lagi pelukis terkenal tempatan iaitu Joanne Lau, tidak terlepas peluang untuk beramal dengan menderma karya seninya yang dinamakan The Kaleidoscope Series III pada pameran itu dengan harga runtuh RM2,000.
Menurut Ng Paik San, harga asal The Kaleidoscope Series III ini bernilai lebih RM4,000.
Oleh Shahrul Qaizat