KUCHING: Todak Music memperkenalkan muzik video “Nang Takdir Kita” yang mengetengahkan etnik Orang Ulu, menggabungkan keindahan bunyi tradisional Sarawak dengan pendekatan moden.
“Nang Takdir Kita,” yang merupakan hasil karya Razak A’ai, menampilkan kolaborasi dengan seorang pemain dan pembuat sape tersohor, Ezra Tekola.
Pengarah dan produser muzik video, Ikmal Fareeq berkata, karya ini dihasilkan bukan sahaja untuk hiburan, tetapi juga sebagai platform untuk memperkenalkan dan mempromosikan keindahan warisan Sarawak kepada generasi baharu.
“Saya percaya muzik adalah medium terbaik untuk menyatukan tradisi dan moden.
“Dengan ‘Nang Takdir Kita,’ saya berharap penonton dapat lebih mengenali dan menghargai keunikan budaya Sarawak yang penuh warna-warni.
“Lagu ini juga dihasilkan untuk memastikan warisan muzik kita kekal relevan, dihargai, dan diteruskan oleh generasi muda,” katanya.
Menurut Razak A’ai, sebagai anak kelahiran Bumi Kenyalang, beliau berbangga dapat menghasilkan sebuah karya dalam dialek Sarawak.
“Lagu ini bertujuan memberi inspirasi dan kekuatan kepada orang ramai, bukan sekadar untuk hiburan.
“Bagi saya, jika lagu ini mampu memberikan semangat walaupun hanya kepada seorang pendengar, itu sudah menjadi satu pencapaian yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, turut menjayakan muzik video ini adalah Michelle Lungan, yang kini dikenali sebagai Rinnai dalam filem “Tegkang” arahan Josh Nawan.
Selain itu, watak ayah dalam muzik video ini dilakonkan oleh Tomi Bulen, seorang pembuat sape berpengalaman yang telah lebih 33 tahun berkecimpung dalam seni ini di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Sebagai sebahagian daripada pelancarannya, muzik video ini turut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan pada Ekspo E-Sukan Sarawak (SAREX) 2024 di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), semalam.
Oleh Mohd Neenatul Aizal