PETRA JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah membuat pemeriksaan sebanyak 828,358 kenderaan di seluruh negara dalam Op Khas Motosikal 2024 yang bermula sejak 1 November lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan, menyatakan bahawa daripada jumlah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 400,352 adalah motosikal, manakala 428,016 merupakan lain-lain kenderaan.
“Sepanjang operasi yang dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), seramai 65 pemandu pelbagai jenis kenderaan telah ditahan kerana didapati positif dadah.
“JPJ memandang serius perkara ini kerana pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah di jalan raya berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan.
“Oleh itu, JPJ memberi amaran keras kepada semua pemandu dan penunggang agar memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah semasa berada di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Op Khas Motosikal 2024 Sarawak di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub, di sini, malam tadi.
Dalam operasi yang bermula pada 7.30 malam itu, JPJ telah memeriksa 445 kenderaan, mengeluarkan 87 notis atas pelbagai kesalahan, dan menyita enam motosikal.
Menurut Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, pihaknya telah mengeluarkan 19,388 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi di negeri ini, dengan kesalahan paling banyak melibatkan ketiadaan lesen memandu.
“Perkara ini menjadi kegusaran bagi kami, dan kami berharap pengguna jalan raya akan mengambil lesen kenderaan.
“Kami telah menyediakan program MyLesen B2 yang bertujuan membantu golongan B40, bagi memastikan semua pengguna motosikal mempunyai lesen,” katanya.
Tambah Norizan, pihaknya akan mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung kegiatan lumba haram di Sarawak.
“Kami telah mengenal pasti beberapa lokasi kegiatan lumba haram.
“Oleh itu, kami akan mengadakan mesyuarat penyelerasan dengan PDRM untuk tujuan tersebut. Pihak PDRM sentiasa memantau perkara ini,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Nor Azlan Ibrahim, Ketua Bahagian Kanan Pengurusan JPJ Sarawak Christopher Alex Boniface Barau dan Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak Saifullah Ali.
Oleh Mohd Neenatul Aizal