KUCHING: Kehilangan kedua orang tua di saat usia masih haus akan kasih sayang, perhatian dan belaian manja dari insan bergelar ibu dan bapa ibarat sejarah hitam yang terpahat dalam kehidupan insan bergelar anak.
Setelah kehilangan kedua ibu dan bapa, dua orang anak perempuan itu kemudiannya dijaga oleh datuk dan nenek yang sudah dimamah usia.
Bagaimanapun, mimpi ngeri yang ibarat tiada noktah, nasib dua beradik ini bertambah menyedihkan apabila kasih sayang dari datuk dan nenek hilang sekelip mata setelah mereka kehilangan kedua-duanya beberapa tahun kemudian.
Menurut Pusat Kebajikan harapan (Hope Place) Kuching, nenek mereka meninggal pada 2020 dan disusuli oleh datuk mereka pada tahun lepas.
Prihatin akan nasib yang menimpa dua beradik itu, adik kepada mendiang neneknya kemudian memutuskan untuk menjaga mereka meskipun kehidupannya juga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
”Mereka berdua kini tinggal dengan nenek dan datuk saudara bersama anak-anak mereka yang telah dewasa dan cucu-cucunya yang lain di dalam satu rumah kayu.
”Kedua-dua beradik itu menjadi yatim piatu apabila bapa mereka meninggal dunia pada 2015 dan tidak lama kemudian, ibu mereka pada 2017.
”Meskipun tidak mempunyai sebarang pendapatan, nenek saudara mereka berusaha sehabis baik untuk memastikan kedua-dua mereka tetap bersekolah,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Menjelas lanjut, katanya, kedua-dua anak perempuan itu menerima PERKESO bulanan mendiang ibu mereka sebanyak RM500.
Sehubungan itu, Hope Place menyara keluarga dengan bantuan makanan asas dan bekalan sekolah untuk mereka berdua.