PETRA JAYA: Indeks Kesejahteraan Komuniti Sarawak mencatatkan peningkatan kepada 7.18 pada tahun lepas berbanding 6.21 pada 2019, menunjukkan kemajuan ketara dalam kesejahteraan sosial negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peningkatan ini adalah hasil pelaksanaan pelbagai program yang disasarkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Katanya, pihaknya menyasarkan untuk mendapatkan Indeks Kesejahteraan Komuniti setinggi 8.0 daripada 10 menjelang 2026.
“Indeks ini dibangunkan untuk menilai kesejahteraan sosial Sarawak dan menyediakan data bagi pembuat dasar untuk merancang program yang lebih baik.
“Kajian terakhir pada 2023 ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) yang kedua bagi 2024 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menurut beliau, indeks tersebut melibatkan penilaian terhadap 10 pilar kesejahteraan sosial, termasuk keluarga (7.68), tanggungjawab sosial (7.45), perumahan (7.38), dan keselamatan awam (7.02).
Katanya, pilar yang mencatat skor terendah ialah ruang sosial dan infrastruktur (6.41), yang akan diberi perhatian khusus dalam perancangan akan datang.
“Kajian menunjukkan pilar keluarga mencatatkan skor tertinggi, membuktikan kekuatan sokongan keluarga dan jaringan komuniti di Sarawak. Namun, ruang sosial dan infrastruktur akan dipertingkatkan melalui pelaburan strategik,” tambah beliau.
Fatimah Abdullah turut mengumumkan cadangan menaik taraf Majlis Pembangunan Sosial kepada Institut Pembangunan Sosial Sarawak.
“Institut ini akan memberi fokus kepada kajian dan penyelidikan sosial, selari dengan keperluan negeri ini. Dengan pendekatan yang lebih spesifik, kita dapat menangani isu sosial seperti penyalahgunaan dadah, kemiskinan, dan keganasan rumah tangga dengan lebih berkesan,” jelas beliau.
Penubuhan institut ini, yang sedang menunggu kelulusan kabinet, adalah selaras dengan matlamat Pelan Strategik Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada keterangkuman sosial.
Sidang media itu turut menyentuh mengenai pelantikan ahli MPS bagi sesi Oktober 2024 hingga Oktober 2026, melibatkan 32 individu terdiri daripada pengarah agensi persekutuan dan negeri.
Beliau menegaskan, pelantikan ini bertujuan memastikan isu sosial yang dibincangkan dalam mesyuarat dapat diambil tindakan segera oleh jabatan masing-masing.
“Kita mahu pemimpin institusi ini memainkan peranan aktif bersama pasukan mereka untuk melaksanakan program intervensi yang dirancang,” ujarnya.
Dalam mesyuarat tersebut, laporan pencapaian 635 program intervensi sosial yang dilaksanakan pada 2024 turut dibentangkan. MPS mencadangkan penilaian program dibuat bagi memastikan keberkesanan dan hasilnya dapat dipertingkatkan pada 2025.
Oleh Shahrul Qaizat