SIBU: Nasib malang mangsa kebakaran di Kampung Hilir di sini, terus mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk Yayasan Sarawak yang tampil menghulurkan bantuan kepada 12 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas.
Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leonard Doo, turun padang menyampaikan sumbangan berbentuk cek bernilai RM2,000 kepada setiap KIR dalam satu majlis ringkas di Pejabat Daerah Sibu, hari ini.
Menurut Watson, usaha ini sejajar dengan tanggungjawab Yayasan Sarawak dalam membantu mangsa bencana seperti yang termaktub dalam perlembagaan organisasi tersebut.
“Kami di Yayasan Sarawak sentiasa berusaha membantu apabila dimaklumkan mengenai bencana atau malapetaka. Oleh itu, kami hadir hari ini untuk meringankan beban mangsa,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 17 rumah musnah dan lebih 130 orang hilang tempat berteduh dalam kejadian pada lewat petang 22 September lalu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Oleh Tarani Lanting