WASHINGTON: Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dilaporkan telah mengundang rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatannya bulan depan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sumber mendedahkan bahawa Trump menghulurkan jemputan itu kepada Xi pada awal November, sejurus selepas pilihan raya, namun tidak dapat dipastikan sama ada Presiden China itu telah menerima jemputan beliau, menurut laporan CBS News lewat, kelmarin.
Laporan itu menyatakan bahawa pegawai sedang membuat persiapan untuk kehadiran lebih ramai pemimpin asing pada majlis angkat sumpah yang dijadualkan berlangsung pada 20 Januari.
Menurut pasukan Trump, terdapat lebih banyak pemimpin yang mungkin hadir ke majlis itu.
“Para pemimpin dunia sedang bersedia untuk bertemu dengan Presiden Trump kerana mereka tahu beliau akan kembali berkuasa dan mengembalikan keamanan melalui kekuatan Amerika di seluruh dunia,” kata jurucakap peralihan Trump, Karoline Leavitt, seperti yang dilaporkan CBS News.
Laporan mengenai jemputan itu muncul beberapa hari selepas Trump mengancam untuk menaikkan tarif ke atas barangan China.
AS juga menetapkan tarikh akhir pada 19 Jan, sehari sebelum majlis angkat sumpah, bagi ByteDance, syarikat induk TikTok dari China, untuk menjual aplikasi media sosial itu atau menghadapi larangan beroperasi di negara ini. – Bernama – AA