PLZEN: Manchester United belajar dari persembahan mengecewakan di aksi separuh masa pertama ketika menentang Viktoria Plzen dalam saingan Liga Europa dan meningkatkan tempo di babak kedua untuk meraih kemenangan 2-1, kata jurulatih Ruben Amorim.
Penyerang muda, Rasmus Hojlund, menjadi penyelamat apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua, membolehkan United bangkit selepas ketinggalan kepada juara Republik Czech enam kali itu.
Kemenangan ini adalah yang ketiga berturut-turut dalam saingan Eropah buat skuad Amorim.
“Kami bertambah baik sepanjang perlawanan,” kata Amorim kepada TNT Sports.
“Kami menguasai permainan di separuh masa pertama tetapi tanpa peluang besar.”
“Kami kurang kelajuan dan pergerakan, ditambah padang yang sukar untuk mencipta hubungan dengan barisan penyerang. Viktoria juga tidak banyak mencipta peluang.
“Di separuh masa kedua, kami bolos satu gol, tetapi reaksi kami baik. Kami menekan lawan di kawasan mereka sendiri dan akhirnya berjaya menjaringkan gol. Kemenangan ini penting untuk persiapan perlawanan seterusnya.”
United kekal tanpa kalah dalam kempen Liga Europa musim ini dan mendominasi penguasaan bola sepanjang perlawanan.
Namun, mereka terpaksa bertahan daripada tekanan awal tuan rumah yang mendahului pada minit ke-48 menerusi Matej Vydra.”
Kelajuan permainan meningkat di separuh masa kedua,” tambah Amorim.
“Saya beritahu pemain, kami perlukan lebih banyak pergerakan di hadapan kerana lawan perlu rasa kita adalah ancaman.
“Kami ubah sedikit pendekatan, dan pemain dari bangku simpanan juga membantu. Kami bukan sahaja memperbaiki cara bermain tetapi juga tempo permainan.”
Amorim turut berpuas hati dengan impak besar yang dibawa oleh Hojlund sebagai pemain gantian.
Penyerang Denmark itu hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan selepas Plzen membuka tirai jaringan, sebelum meledak gol kemenangan di hujung saingan.
“Kami sedang memperbaiki beberapa aspek permainan. Kami mengawal transisi dengan baik dan agresif ketika kehilangan bola. Kami perlu meluangkan lebih masa berhampiran gawang lawan,” kata Amorim.