ROBAN: Dua lelaki warga tempatan diberkas polis kerana menjalankan kegiatan menjual nombor ekor haram dalam Ops Dadu yang dijalankan di Pasar Roban semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mordani Tanin berkata, dalam tangkapan kes pertama sekitar 2.30 petang, pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok serta Balai Polis Roban membuat serbuan di sebuah kedai Roban New Bazaar (kedai Snooker).
“Suspek lelaki yang berusia 21 tahun ditangkap kerana disyaki menjalankan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram.
“Seunit telefon bimbit jenama Samsung, enam keping kertas yang bertulis angka 4D haram dan tiga batang pensel turut dirampas,” katanya sambil memberitahu suspek ditangkap dan dibawa ke IPD Saratok berserta rampasan untuk siasatan lanjut.
“Dalam serbuan kedua sekitar 3.30 petang, polis membuat serbuan di sebuah kedai makan di Roban Bazaar, Jalan Feeder.
“Suspek yang berusia 47 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram di pekan itu turut diberkas polis.
“Polis merampas seunit telefon bimbit jenama Nokia, seunit mesin pencetak, dua gulung kertas pencetak dan tiga keping kertas yang bertulis angka 4D haram,” ujarnya dan suspek turut ditangkap serta dibawa ke IPD Saratok berserta rampasan untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek ditahan dalam lokap dan akan dipohon tahanan reman pada hari ini (semalam),” tegasnya.
Tegas Mordani, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(A)(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.