KUCHING: Cahya Mata Sarawak (CMS) terus mempererat hubungan dengan pengamal media menerusi penganjuran Malam Media CMS 2024 yang diadakan, malam tadi.
Pengarah Urusan Kumpulan CMS, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, majlis bertemakan “Meraikan Kepelbagaian” itu turut menandakan jalinan kerjasama erat selama lebih lima dekad antara CMS dan media.
“Malam Media CMS bukan sekadar acara tahunan, tetapi ia merupakan satu bentuk penghargaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh media dalam menyampaikan cerita serta membina kepercayaan masyarakat terhadap CMS.
“Sokongan pihak media selama ini telah memainkan peranan besar dalam membentuk perjalanan CMS, dan untuk itu, kami amat berterima kasih,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tersebut di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Sulaiman turut mengimbau perjalanan CMS yang bermula pada 1974 sebagai pengeluar simen tempatan sebelum berkembang menjadi sebuah syarikat multinasional yang dinamik.
Katanya, kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan penuh daripada pihak media.
“Peranan media dalam membawa cerita CMS ke mata dunia telah membawa kepada ketelusan dan mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap syarikat ini,” katanya.
Tambah Sulaiman, beliau berharap agar CMS dan media dapat terus bekerjasama, memacu kemajuan, dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua pihak.
Pada majlis yang sama, Sulaiman turut merasmikan buku khas yang diterbitkan sempena meraikan 50 tahun perjalanan gemilang CMS.
Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Izzam Ibrahim; Pemangku Pengarah Urusan Bahagian Simen, Choong Ju Tang; Pengarah Urusan Bahagian Hartanah, Shaun Mok; Pengarah Urusan Bahagian Penyelenggaraan Jalan, Raymond Ugay; Pengarah Urusan Bahagian Bahan Pembinaan & Perdagangan, Derek Chee; Pengarah Urusan Bahagian Alat Minyak, Yusoff Noor; serta Ketua Pegawai Operasi Interim Bahagian Fosfat, Ishwinderjit Singh.
Oleh Mohd Neenatul Aizal