KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa hasil pendapatan Sarawak boleh mencecah RM20 bilion tahun depan.
Katanya, pada 2017 hasil Sarawak cuma kira-kira RM5 bilion hingga RM6 bilion.
“Dalam tempoh hanya tujuh tahun, Sarawak mampu memperuntukkan RM15 bilion untuk belanjawan 2025. Dan pendapatannya mencecah RM14 bilion (sasaran awal).
“Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk, tidak. Saya mahu menunjukkan bahawa Sarawak tahu bagaimana menguruskan ekonominya.
“Saya rasa, (hasil) mungkin akan mencecah RM20 bilion tahun depan,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di sini malam tadi.
Ketika membentang Belanjawan 2025 pada 11 November lalu, Abang Johari membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM15.8 bilion dan mengunjurkan pendapatan sebanyak RM14.2 bilion pada 2025, iaitu kutipan hasil tertinggi pernah diunjurkan.
Malah jika dicampur unjuran hasil semua 11 negeri di Semenanjung untuk tahun depan iaitu anggaran kira-kira RM12.83 bilion, ia masih tidak dapat mengatasi unjuran hasil Sarawak sebanyak RM14.2 bilion itu dengan hasil Selangor diunjurkan RMRM2.35 bilion, diikuti Johor (RM2.005 bilion), Terengganu (RM1.99 bilion), Perak (RM1.43 bilion) dan Pahang (RM1.194 bilion).
Abang Johari berkata harapannya adalah hasil itu dikongsi dan dirasai oleh semua rakyat.
Katanya, Sarawak berani membina lebih dari 10 jambatan merentasi sungai utama di negeri ini dalam satu-satu masa iaitu sesuatu yang sukar dilakukan sebelum ini.
Oleh itu kata Abang Johari, JKR Sarawak memainkan peranan besar di dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan untuk pembangunan infrastruktur melalui modal insan yang kreatif dan inovatif serta teknologi terkini di negeri ini.
Beliau juga memberi sokongan penuh langkah JKR Sarawak menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam sektor pembinaan.
Menurutnya, BIM berasaskan teknologi 3D membolehkan simulasi pembinaan bangunan dengan data yang sangat terperinci.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo dan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Dr. Cassidy Morris
Oleh Noor Ikmal