PARIS: Tahun ini ‘hampir pasti’ mencatatkan suhu tertinggi pernah direkodkan dan buat pertama kali melebihi ambang kritikal bagi melindungi planet ini daripada suhu panas secara berbahaya, kata pemantau iklim Eropah hari ini.
Penanda aras baharu yang disahkan oleh Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus itu mengukur dalam tempoh setahun, yang mana negara kaya dan miskin ditimpa pelbagai bencana alam berikutan pemanasan pantas bumi, yang diakitkan saintis kepada perilaku manusia.
Copernicus berkata, haba luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan purata suhu global berada di paras amat tinggi antara Januari dan November dan ia pasti akan melepasi rekod cuaca paling panas yang direkodkan pada 2023.
Menurut agensi Kesatuan Eropah (EU) itu dalam buletin bulanannya, dan melihat konteks semasa, sudah pasti 2024 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod.
2024 juga akan menjadi tahun kalendar pertama yang lebih panas pada kadar 1.5 darjah Celsius berbanding zaman pra-industri sebelum manusia mula membakar sejumlah besar bahan api fosil.
Kumpulan saintis memberi amaran jika melebihi 1.5 darjah Celsius dalam tempoh beberapa dekad, ia menjejaskan planet ini dan dunia bersetuju di bawah perjanjian iklim Paris untuk berusaha mengehadkan pemanasan kepada nilai ambang yang lebih selamat.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, Samantha Burgess, berkata setahun melebihi 1.5 darjah Celsius ‘tidak bermakna Perjanjian Paris dilanggar, tetapi ini bermakna tindakan iklim yang bercita-cita tinggi adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini’.
Dunia tidak berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 1.5 darjah Celsius. Pada Oktober, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, hala tuju tindakan iklim semasa akan mengakibatkan bencana pemanasan 3.1 darjah Celsius.
Pelepasan daripada bahan api fosil terus meningkat walaupun terdapat ikrar global untuk menjauhkan dunia daripada arang batu, minyak dan gas.
Apabila dibakar, bahan api fosil membebaskan gas rumah hijau yang memanaskan lautan dan atmosfera bumi, mengganggu corak iklim dan kitaran air.
Kumpulan saintis berkata, pemanasan global menjadikan kejadian cuaca melampau lebih kerap lagi ganas, malah pada tahap sekarang perubahan iklim akan memberikan lebih banyak kesan.
2024 menyaksikan pelbagai bencana alam, antaranya banjir yang meragut nyawa di Sepanyol dan Kenya, ribut tropika ganas di Amerika Syarikat (AS) dan Filipina serta kemarau teruk selain kebakaran hutan di seluruh Amerika Selatan.
Menurut syarikat insurans gergasi, Swiss Re yang berpangkalan di Zurich bulan ini, secara keseluruhan, bencana alam menyebabkan kerugian ekonomi berjumlah AS$310 bilion (RM1.4 trilion) pada 2024. – AFP