KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) diarah mengkaji segera punca utama menyebabkan prestasi pelaksanaan projek sepanjang tahun ini dianggap kurang memuaskan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, terdapat empat projek yang telah ditamatkan dan sebelas projek lain mengalami kelewatan kritikal, termasuk dua projek yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah memberi kepercayaan kepada kita dengan tanggungjawab besar untuk melaksanakan projek bernilai RM1.3 bilion pada 2025.
“Jika prestasi anda tidak cemerlang, anda mungkin akan kehilangan kepercayaan pelanggan. Ingatlah, pada 2026 akan bermula dengan bajet berdasarkan hasil, yang akan menilai prestasi kita.
“Jadi, anda mesti bersedia menghadapi cabaran untuk melaksanakan projek mengikut masa, bajet, kualiti, dan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) JKR Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Uggah berkata penilaian semula perlu dilakukan oleh JKR terhadap proses dan prosedur yang sedia ada.
“Sebagai contoh, kita telah menetapkan definisi bagi projek yang mengalami kelewatan kritikal. Untuk projek jangka pendek yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun, had masa yang ditetapkan ialah 60 hari.
“Saya rasa apa-apa yang melebihi 30 hari sudah dianggap kritikal. Jadi, perkara ini perlu kita bincangkan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai BIM, Uggah menyeru agar program tersebut diperkasakan dalam industri pembinaan bagi memastikan projek dilaksanakan dengan lebih cekap.
Katanya, BIM adalah alat penting untuk kerjasama antara pihak berkepentingan seperti arkitek, jurutera, kontraktor, dan klien.
“Melalui BIM, data projek dan maklumat terkini dapat diakses sepanjang pelaksanaan projek, membolehkan sebarang konflik dan isu reka bentuk dikesan serta diselesaikan lebih awal.
“Penggunaan BIM dapat menghapuskan kesilapan yang mahal, mengurangkan kerja semula, serta memastikan projek dapat disiapkan mengikut masa dan bajet yang ditetapkan tanpa mengabaikan kualiti dan keselamatan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris.
Oleh Mohd Neenatul Aizal