KAPIT: Usaha dan perit jerih yang telah dicurahkan oleh pemimpin terdahulu untuk membawa keamanan melalui Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 perlu dipertahankan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata keberanian dan semangat persefahaman luar biasa yang ditunjukkan oleh pemimpin terdahulu dengan memeterai perjanjian bersejarah itu menetapkan asas kepada keharmonian yang dinikmati Kapit dan Sarawak hari ini.
Katanya, pemimpin terdahulu telah jauh memandang ke hadapan dan yakin bahawa keamanan bukan sahaja menoktahkan konflik tetapi menjadi titik permulaan satu pertumbuhan ke arah yang lebih positif.
Beliau berkata komitmen pemimpin-pemimpin ini telah meninggalkan satu warisan yang amat berharga iaitu persekitaran kehidupan yang aman damai dan memberi peluang kepada semua pihak, tanpa mengira latar belakang dan etnik untuk berkembang maju.
“Perdamaian Kapit pada 1924 terus menjadi mercu tanda kepada kita semua yang menggambarkan bahawa kemajuan sebenar berakar umbi dalam kerjasama dan rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan fahaman mahupun etnik.
“Pertumbuhan berkekalan dan berterusan akan dapat dicapai hanya jika kita terus bertoleransi dalam perbezaan dan bergerak Segulai Sejalai.
“Persekitaran yang aman ini harus dimanfaatkan oleh masyarakat dengan berusaha mengambil peluang untuk memajukan diri dan komuniti demi memastikan masa depan yang cerah untuk anak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Makan Malam Perayaan ke-100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Dewan Suarah Kapit malam tadi.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata perasaan saling menghormati perbezaan antara satu sama lain dan terus bekerjasama harus dikekalkan agar rakyat di Kapit dan seluruh negeri ini terus bergerak bersama dengan kekuatan kolektif.
Menurutnya, kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan Kapit meskipun agak jauh di pedalaman, untuk memastikan pembangunan sosioekonominya dapat bergerak seiring dengan kawasan lain.
Dalam hal ini, beliau memuji usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pemier Sarawak yang telah banyak melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif dan drastik bagi memastikan kawasan pedalaman tidak ketinggalan.
Jelas beliau, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang diperkenal dan sedang dijayakan kerajaan Sarawak juga memberi penekanan inklusif kepada semua rakyat Sarawak dan usaha ini telah mencuri tumpuan banyak pihak.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Penasihat Utama Jawatankuasa Induk dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Leonard Linggi Tun Jugah; bekas Ahli Parlimen Kanowit, Tan Sri Datuk Amar Leo Moggie Irok dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I, Datuk Liwan Lagang.
Terdahulu pada sebelah pagi, berlangsung majlis perasmian Perayaan Ke-100 Tahun Perjanjian Perdamaian Kapit 1924 di Kubu Sylvia, Kapit. – EDISI UKAS