PHNOM PENH (Kemboja): Kemboja dan Sarawak telah menyatakan hasrat untuk meningkatkan hubungan perdagangan serta memanfaatkan sektor ekonomi utama antara kedua-dua wilayah yang kaya dengan sumber asli itu.
Sarawak, yang terkenal dengan rizab minyak, gas dan kayu balak yang luas berada pada kedudukan strategik untuk bekerjasama dengan Kemboja, yang memiliki kekayaan hasil pertanian dan industri yang sedang pesat membangun.
Hasrat itu dinyatakan semasa pertemuan semalam antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Peace Palace, Phnom Penh, lapor Fresh News.
“Kemboja mempunyai potensi dan peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Kemboja.
“Sarawak dan Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan ini serta meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara,” kata Abang Johari seperti dipetik Fresh News.
Premier Sarawak itu berada di Phnom Penh bagi menghadiri persidangan Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke-20, yang mana beliau merupakan presiden pergerakan itu.
Kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, tenaga dan pelancongan, serta potensi penerbangan terus antara Sarawak dan Kemboja, menurut portal berita dalam talian itu.
Semasa pertemuan itu, Manet memberitahu Premier Sarawak bahawa Kemboja dan Malaysia “mempunyai banyak peluang untuk mengukuhkan dan mengembangkan hubungan serta kerjasama mereka”.
Sementara itu, ketika berucap pada pembukaan persidangan RISEAP ke-20 pada Sabtu, Manet berkata masyarakat Muslim Khmer boleh memainkan peranan penting dalam mengakses ekonomi Islam global, khususnya kewangan Islam dan pasaran halal yang semakin berkembang.
“Masyarakat Muslim Kemboja adalah kunci untuk membuka peluang ekonomi Islam global kepada Kemboja, sama ada dalam kewangan Islam atau ekonomi halal.
“Saya juga komited untuk memajukan industri pembuatan dan eksport halal, memastikan Kemboja dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang luas pasaran halal dengan mematuhi piawaian pensijilan halal antarabangsa,” kata perdana menteri. – Bernama