KAPIT: Kerajaan Sarawak akan menjalinkan kerjasama dengan Negara Indonesia bagi membina empangan hidroelektrik di Kalimantan Timur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah bersama dengan kerajaan Indonesia mengeluarkan tenaga daripada hidro.
“Bapa Konsul (Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Raden Sigit Witjaksono) tahu kita sudah melabur di Kalimantan Timur.
“Kalau di sini (Sarawak) kita ada Bakun, kita juga ada di sana bersama dengan pihak Indonesia kita mengeluarkan tenaga daripada hidro. Kita ada 35 peratus di sana kerana kita bekerjasama dengan Kerajaan Indonesia.
“Apabila kita ada kerjasama dengan rakan kita Indonesia dan juga Brunei Darulsalam maka kita mempunyai entiti ekonomi bersepadu dalam gabungan Asean.
“Dan tahun baharu Malaysia adalah ‘The ASEAN Chairmanship’. Dengan ada pengalaman ini, maka keamanan ini juga akan datang ke Indonesia, Brunei, Sabah dan kita sama-sama membangunkan pulau ini.
“Kita mempunyai syarikat penerbangan sendiri dan kita boleh terbang ke tempat lain dalam keadaan yang harmoni,” katanya semasa berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Perjanjian Damai di Kapit, hari ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari berkata, Majlis Perjanjian Damai Kapit yang ditandatangani pada 1924 dan hari ini adalah 2024 genap 100 tahun adalah sangat bersejarah.
“Saya ucapkan tahniah kepada orang Kapit yang dapat menyemarakkan nikmat perpaduan yang kukuh dan seterusnya dapat memberikan sumbangan pembangunan Kapit khasnya dan Sarawak amnya.
“Apabila kita merayakan satu peristiwa, selalunya kita mengenang segenap apa yang berlaku. Kita merenung juga apakah nikmat yang kita hadapi dan juga apakah kesan negatif yang kita hadapi dalam kita merayakan peristiwa tersebut.
“Sudah tentu dalam sejarah Sarawak kedamaian yang kita hadiri hari ini 100 tahun telah memberi pengajaran kepada kita dan seterusnya kita menilai di antara apakah kesannya terhadap perjanjian tersebut kapada kita.
Abang Johari berkata, kedamaian sangat penting untuk mengukuhkan semangat persaudaraan.
“Dengan adanya semangat sedemikian kita dapat bekerjasama, dapat menguntungkan semua pihak dan juga kita boleh mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran yang kita hadapi untuk masa kini dan masa depan.
“Ia sebagai landasan untuk meneruskan hidup kita untuk masa depan. Dengan adanya pendamaian ini kita dapat melihat bagaimana Kapit berubah dari masa ke semasa,” jelasnya.
Katanya, pembangunan tidak hanya berhenti di Kapit sahaja, malah ianya akan ke seluruh kawasan di Sarawak.
“Inilah yang kita kerjakan, bermakna masyarakat Kayan, Kelabit, Orang Ulu bersepadu dengan masyarakat Iban di Kapit.
“Ini yang kita praktikan dalam semangat pendamaian 1924. Ia akan menyatukan masyarakat kita. Bermakna seluruh Sarawak akan mempunyai jalinan yang akrab bermula dari Kapit ia terus ke seluruh Sarawak,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Keusahawanan & ADUN N.15 Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, Penasihat Utama Jawatankuasa Pengelola Induk dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Leonard Linggi Tun Jugah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
Oleh Akun Giman / Tarani Lanting