KUCHING: Populasi warga emas di Sarawak dijangka meningkat kepada 3 juta orang bersamaan 15 peratus menjelang 2028.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menerusi statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) mengenai peningkatan warga emas, kerajaan Sarawak akan sentiasa memainkan peranan penting terhadap cabaran kesihatan yang mungkin dihadapi oleh golongan warga emas.
Menurutnya, JKMS sentiasa optimis bagi membantu warga emas untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan mengadakan beberapa aktiviti yang memberi manfaat penjagaan kesihatan kepada warga emas.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pendaftaran dan Sesi Libat Urus Kenyalang Gold Card (KGC) dan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) bersama Pusat Khidmat Parlimen dan ADUN Bahagian Kuching Tahun 2024, di Wisma Sabati pagi tadi.
Sementara itu, Fatimah memberitahu kerajaan Sarawak komited dengan memperkenalkan perkhidmatan khusus kepada rakyat Sarawak menerusi Kenyalang Gold Card (KGC) yang memberi manfaat kepada penerima KGC.
Jelasnya, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan Sarawak dalam membantu meringankan beban rakyat di negeri ini.
Dalam pada itu, Fatimah mendedahkan sejak 2020 hingga hari ini, sebanyak 306,587 KGC diagihkan di seluruh Sarawak dengan bantuan rakan strategik KGC sebanyak 966.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata pelaksanaan KGC sebelum ini turut dilengkapi dengan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) berjumlah RM3,000 bagi membantu waris pemegang KGC yang meninggal dunia menanggung kos pengebumian akan dikurangkan.
“Sebaik sahaja kita melaksanakan manfaat kesihatan ini, BIK dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM1,800. Walaupun dikurangkan kepada RM1,800 banyak manfaat yang akan mereka terima,” katanya.
Beliau berkata, seramai 590 permohonan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) diluluskan dengan nilai kos RM 9.92 Juta sejak 2020 hingga Oktober 2024.
Manakala bagi bagi bantuan Mesin Hemodialisis pula berjaya diagihkan kepada klinik dan hospital kerajaan seluruh Sarawak sebanyak 30 mesin sejak 2021 sehingga Oktober 2024 dengan perbelanjaan sebanyak RM 1.236 juta.
Katanya, sebuah mesin mampu merawat seramai tiga pesakit bagi tempoh 1 hari berlangsung selama empat jam bergantung kepada saiz badan dan keadaan perubatan.
Selain itu, Fatimah berkata golongan warga emas berpendapatan RM 7,000 dan kebawah turut menerima kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai di klinik panel dengan had maksima RM500 seorang setahun.
“Perkhidmatan ini boleh digunakan di klinik swasta dengan peruntukan RM500 setahun oleh rakyatnya yang berusia 60 tahun ke atas.
“Pada tahun pertama pelaksanaan, manfaat kesihatan ini diberikan kepada golongan B40 terlebih dahulu,” katanya.
Jelasnya, inisiatif yang diberikan oleh kerajaan Sarawak itu akan mula dilaksanakan bermula tahun hadapan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Oleh Noor Ikmal