KUCHING: Sebanyak RM5.637 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Parlimen Santubong untuk 2024.
Ahli Parlimennya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peruntukan tersebut akan memberi manfaat kepada masyarakat dengan menyediakan akses infrastruktur yang lebih baik, meningkatkan kesejahteraan sosial, serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi penduduk setempat.
“Kita tidak mahu masyarakat kita menghadapi kesusahan.
“Melalui inisiatif seperti pembinaan rumah baharu, membaik pulih kediaman golongan kurang berkemampuan, serta penyediaan kemudahan komuniti seperti dewan dan padang sukan, kita berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi sembang santai Program Malam Media Sarawak dan ‘Sembang Santai’ anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Parlimen Santubong di sebuah hotel di Kuching, malam tadi.
Tambah beliau, bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sejumlah RM500,000 telah diperuntukkan untuk menaik taraf sistem saliran di Kampung Tabuan Melayu (N5 Demak Laut) dan menaik taraf Dewan Kampung Gerunggang di Lundu (N3 Tanjong Datu).
Selain itu, dalam Projek Mesra Rakyat (PMR), sebanyak RM967,000 diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif termasuk pembinaan Rumah Wanita baharu di Kampung Temenggong, menaik taraf gelanggang sepak takraw di Kampung Beradek, Dewan Kampung Jaya Bakti (N4 Pantai Damai), gelanggang sepak takraw di Kampung Sejingkat, serta pembinaan struktur kawalan hakisan di Kampung Meriyu, Lundu (N3 Tanjong Datu).
“Bagi inisiatif Jalan Perhubungan Desa (JPD) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KKDW) pula memperuntukkan sebanyak RM3.17 juta untuk projek menaik taraf jalan perhubungan desa di Kampung Pinggan Jaya (N5 Demak Laut), Kampung Buntal (N4 Pantai Damai), dan Kampung Sungai Cina di Lundu (N3 Tanjong Datu).
“Selain itu, RM1 juta diperuntukkan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) – Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) untuk membaik pulih 60 buah rumah golongan berpendapatan rendah, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.
Dato Sri Nancy turut menekankan kepentingan enam teras pembangunan utama bagi memastikan kemajuan kawasan Santubong berjalan lancar.
Teras tersebut meliputi pembangunan infrastruktur, pembangunan kapasiti dan modal insan, pembangunan sosioekonomi, pembangunan komuniti dan kesejahteraan, pembangunan belia, sukan dan kesukarelawanan, serta pembangunan kerohanian dan nilai.
Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, serta tetamu jemputan lain.
Oleh Shahrul Qaizat