SARIKEI: Sepanjang 100 tahun perjalanan yang penuh cabaran dan kejayaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir telah menjadi sebuah institusi pendidikan yang melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang, serta memainkan peranan penting dalam membentuk karakter dan jati diri anak bangsa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sejarah sekolah ini yang bermula pada 1924 bukan sahaja mencatatkan detik-detik penting dalam dunia pendidikan, tetapi juga menjadi saksi kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“SK Abang Haji Matahir telah meniti pelbagai fasa dan cabaran sepanjang seratus tahun kewujudannya.
“Sejak penubuhannya pada 1924, sekolah ini telah menjadi institusi pendidikan yang memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
“Tinta sejarah sekolah ini tertulis dengan pelbagai kejayaan akademik dan kokurikulum yang membanggakan,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 SK Abang Haji Matahir di dewan terbuka sekolah tersebut, malam tadi.
Katanya, guru-guru adalah tunjang kepada kejayaan sekolah tersebut.
“Tanpa dedikasi dan komitmen anda, tidak mungkin kita dapat mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati hari ini.
“Teruskan usaha murni anda dalam mendidik anak-anak bangsa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan.
“Percayalah, setiap titik peluh dan usaha anda akan memberikan impak yang besar kepada masa depan generasi kita. Jadilah guru yang berjiwa pendidik,” katanya.
Tambahnya, pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang cerah dan oleh itu ibu bapa perlu terus memberikan sokongan kepada anak-anak dalam pelajaran mereka.
“Sementara itu, PIBG memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah sekolah.
“PIBG perlu mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan guru yang seterusnya membantu dalam meningkatkan kerjasama dalam usaha membangunkan dan memajukan sekolah.
“Selain itu, PIBG perlu menyediakan bantuan kewangan dan sumber untuk menyediakan keperluan tambahan seperti bahan pengajaran, peralatan sukan dan memperbaiki kemudahan sekolah,” katanya lagi.
Beliau juga berharap alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing kembali ke sekolah sebagai mentor dan sumber inspirasi kepada pelajar.
“Mereka boleh berkongsi pengalaman, pengetahuan dan memberi nasihat yang bermanfaat untuk membantu pelajar merancang masa depan mereka.
“Sediakan rangkaian hubungan yang luas yang boleh membantu pelajar mencari peluang latihan industri, pekerjaan dan projek penyelidikan.
“Jaringan yang kuat ini juga boleh membantu dalam penganjuran seminar, bengkel dan program pembangunan pelajar,” katanya.
Katanya lagi, alumni juga perlu aktif dalam usaha kempen pengumpulan dana atau menyumbang secara langsung untuk membantu sekolah dalam projek-projek pembangunan, pembinaan kemudahan baru, membeli peralatan pengajaran dan menyokong program akademik serta kokurikulum.
“Alumni boleh terlibat dalam menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seperti hari kerjaya, pameran pendidikan, serta aktiviti sukarela yang dapat memanfaatkan pelajar dan komuniti sekolah secara keseluruhannya.
“Alumni yang memiliki pengalaman dan kemahiran kepimpinan boleh menyumbang dalam jawatankuasa sekolah atau PIBG seperti menyumbang idea dan perspektif untuk pembangunan dan kemajuan sekolah.
“Dengan memainkan peranan-peranan ini, alumni dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan kemajuan sekolah, memastikan generasi pelajar yang akan datang terus mendapat manfaat dari sokongan mereka,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir. Yusuf Abd Wahab, Temenggung Awangku Ibrahim Awangku Hosain dan Guru Besar SK Abang Haji Matahir Rugayah Nawawi.
Oleh Earl Anek