KUCHING: Pokok Krismas gergasi yang dihiasi dengan warna-warni cahaya lampu dan hiasan yang menarik kini mulai menerangi pekarangan pasaraya Emart Tabuan Jaya, di sini.
Majlis menyalakan pokok Krismas ’Jolly’ setinggi 24 meter itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.
Wee ketika berucap pada majlis menyalakan lampu ’Jolly Christmas Tree’ itu berkata, majlis itu mencerminkan usaha Emart Tabuan Jaya dalam memupuk ikatan komuniti dan menyebarkan keceriaan perayaan Krismas.
”Acara ini bukan sekadar menyalakan lampu dan hiasan pokok Krismas, ia mewakili komitmen kami untuk meningkatkan semangat kebersamaan dalam komuniti sekali gus keceriaan dan kemeriahan perayaan Krismas,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan lagi pengalaman menarik semasa membeli-belah Krismas, Emart Tabuan Jaya telah menyediakan gerai khas Krismas bermula 4 hingga 29 Disember ini.
Gerai ini bertujuan melibatkan pembeli dalam suasana perayaan dengan pelbagai hidangan dan hadiah bermusim.
Dalam pada itu, Wee turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa menunjukkan keprihatinan bagi menghayati semangat kemurahan hati terutamanya pada musim perayaan.
”Krismas bukan sekadar perayaan, malah ia juga mengingatkan kita untuk sentiasa memberi kepada komuniti terutamanya kepada orang yang kita kasihi atau mereka yang memerlukan.
”Memberi tidak semestinya anda perlu memberikan wang atau derma tetapi ia juga boleh dilakukan dengan perbuatan baik kepada orang di sekeliling anda.
”Sehubungan itu, saya berharap majlis ini akan mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kemurahan hati dalam hidup bermasyarakat dan menghargai keharmonian dan perpaduan yang telah wujud sekian lama di negeri ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis itu.
Dalam majlis sama, Wee turut menyampaikan sijil dan plak penghargaan kepada para penaja iaitu Pengurus Komunikasi Korporat Ibraco Berhad, Rozanna Ong dan Pengurus Besar SCR Group of Companies, Johnny Leo yang disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Emart Ngu Ting Sii.
Oleh Rynna Sha’erra