SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) terus komited menganjurkan Festival Krismas dan Tahun Baharu sebagai usaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di bandar ini.
Pengerusi MPS, Clarence Ting, menyifatkan Krismas bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi simbol kegembiraan dan kedamaian yang dapat dikongsi seluruh komuniti.
“Krismas adalah masa untuk mengingati kelahiran Kristus bagi penganut Kristian. Namun, ia juga membawa semangat perpaduan yang diraikan bersama semua agama dan kepercayaan.
“Di Sibu, dengan komuniti Kristian yang besar, kita ingin jadikan majlis ini peluang menyatukan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Festival Krismas Sibu 2024 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I, malam tadi.
Selain Festival Krismas, katanya, MPS turut mengadakan Ambang Tahun Baharu 2025 pada 31 Disember di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I.
Menurutnya, acara ini akan dimulakan dengan konsert pada 8.00 malam sebelum sesi kira detik tepat 11.00 malam.
“Sambutan tahun ini akan dibuat lebih ringkas dengan tempoh masa yang lebih singkat berbanding sebelum ini.
“Kami berharap ia mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk bersama meraikan kedatangan tahun baharu,” tambahnya.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa pengelola festival, Kaunselor Simon Wee, memaklumkan Festival Krismas tahun ini bertemakan ‘Fairy Tale Christmas Village’.
Menurutnya, festival ini akan berlangsung dari 6 hingga 25 Disember dengan menampilkan elemen baharu seperti pembinaan istana terbesar, pencahayaan warna-warni, dan salji tiruan.
Wee berharap festival ini dapat menarik pelancong luar serta domestik ke Sibu untuk sama-sama merasai kemeriahan Krismas.
Hadir sama dalam acara perasmian ialah Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Setiausaha MPS Yong Ing Chu.
Oleh Tarani Lanting