KUCHING: Info On Wheels (IOW) oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus dipergiat di peringkat daerah di seluruh Sarawak dalam usaha memerangi penularan wabak pandemik Covid-19.
Usaha berterusan ini adalah mustahak dan sejajar dengan situasi semasa berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Mac lepas berkenaan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan virus tersebut.
Program IOW mengenai kesedaran wabak Covid-19 telah giat dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri sejak terdapatnya kes positif di Malaysia sekitar awal tahun 2020.
Hebahan awam harian oleh Unit Bergerak JAPEN adalah berkenaan kandungan-kandungan kesedaran wabak COVID-19 seperti memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di tempat awam, kerap membasuh tangan, menggunakan hand sanitiser, penjagaan penjarakan sosial dan pemantuhan kepada arahan-arahan semasa PKP.
Selain itu, pengagihan bahan penerbitan seperti poster dan risalah kesedaran wabak COVID-19 turut dilaksanakan di kawasan serta tempat tumpuan orang ramai seperti pejabat pos, bank, pusat penjaja, pasar raya, stesen minyak dan sebagainya.
Di Saratok, masyarakat setempat menyambut baik usaha yang telah dilakukan oleh Jabatan Penerangan Daerah Saratok melalui inisiatif hebahan menggunakan dialek tempatan.
Pembantu Penerangan JAPEN Saratok, Aini Elah menarik perhatian pengguna media sosial apabila membuat hebahan awam menggunakan dialek tempatan Kabong dan rakaman video pengumuman tersebut menjadi tular di media sosial.
Inisiatif ini secara langsung memberi kesan positif kerana masyarakat memahami dan menerima maklumat yang telah disampaikan menerusi hebahan tersebut.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah Saratok turut menyambut baik usaha JAPEN dalam membuat pengumuman awam bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam menangani penyebaran virus COVID-19 dalam usaha menghentikan rangkaian virus dari terus merebak.
Susulan itu, pemantauan mendapati suasana di sekitar pasar dan perumahan di Saratok adalah lengang dan sunyi, secara langsung menunjukkan penduduk ambil maklum dan mematuhi arahan PKP untuk terus berada di rumah.
Di Bau, tinjauan mendapati rata-rata komuniti di situ memberikan respon baik terhadap PKP, sehingga beberapa kampung turut memasang ‘ banner’ amaran supaya orang luar tidak dibenarkan masuk ke kampung tanpa urusan rasmi.
Turut kelihatan di jalan raya utama sempadan daerah Bau-Kuching, terdapat sekatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Daripada tinjauan di Bau, orang ramai yang ditemui menyatakan bahawa mereka berada di luar bagi tujuan untuk mendapatkan keperluan harian, menjalankan perkhidmatan penting dan juga segolongan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan daripada institusi perubatan.
Semasa pemantauan di kawasan Samalaju melibatkan rumah panjang dan kampung berdekatan, didapati beberapa kedai dan pasar raya masih beroperasi di kawasan simpang Bakun sekaligus menunjukkan stok bekalan makanan masih mencukupi untuk penduduk kawasan sekitar. Penduduk setempat di situ turut menyatakan bahawa tidak susah untuk mendapat bekalan makanan sepanjang tempoh PKP ini.
Majoriti penduduk terutamanya di pedalaman sewaktu ditemui unit bergerak JAPEN menyuarakan kesukaran untuk membeli penutup hidung dan mulut di pasaran ketika ini dan berharap mesej tersebut dapat didengari oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Suasana di beberapa rumah panjang apabila dilawati didapati lengang dan menunjukkan penghuni patuh kepada arahan PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Sebagai langkah berjaga-jaga pintu pagar utama ke rumah panjang di Rh. Meikle Ding, Sungai Sekutan dan Rh. Raymond Plen, Sungai Gelam telah ditutup. Notis larangan memasuki rumah panjang tanpa tujuan turut diletakkan di pintu pagar utama Rh. Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, Bintulu.
Sememangnya pujian harus diberikan kepada penduduk luar bandar khususnya rumah panjang yang begitu patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini sehingga ada notis larangan diletakkan di luar kawasan rumah panjang melarang orang luar memasuki kawasan rumah panjang tanpa urusan penting. Program IOW merupakan program inisiatif Jabatan Penerangan dalam mempelbagaikan kaedah penyampaian maklumat dan dasar-dasar Kerajaan melalui hebahan Unit Bergerak sebagai medium perantara, edaran dan penerangan bahan penerbitan oleh pegawai-pegawai penerangan bersama pemimpin masyarakat ke peringkat akar umbi.