KAPIT: Seramai 70 ahli Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sibu dan Kapit menyertai Ekspedisi Tun Jugah ke Rumah Richard Ng di Entuloh, Sungai Merirai, Baleh, baru-baru ini.
Rumah panjang tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana diasaskan oleh mendiang Tun Jugah Barieng, bekas Menteri Hal Ehwal Sarawak di peringkat persekutuan dan presiden pertama PBB, yang juga dikenang atas sumbangannya dalam pembentukan Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Adat dan Undang-Undang Anak Negeri) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit bersama ADUN Machan, Allan Siden Gramong mengetuai ekspedisi tersebut.
Acara pelepasan ekspedisi telah dilakukan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga ADUN Nangka, Datuk Dr Annuar Rapa’ee di Dewan Suarah Kapit.
Ahli Majlis Pemuda PBB Douglas Jamit memberitahu, ekspedisi tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menerokai keindahan alam semula jadi kawasan pedalaman sambil mengenali warisan Tun Jugah.
“Setibanya di Rumah Richard, kami disambut dengan adat tradisional rumah panjang termasuk ritual ‘niti ruai,’ yang mencerminkan kehangatan dan keunikan budaya Iban,” kata beliau.
Katanya, lawatan itu memberikan pemahaman mendalam tentang cabaran yang dihadapi Tun Jugah semasa era penjajahan dan perjuangan untuk kemerdekaan.
Sementara itu, Allan Siden berkata, walaupun berasal dari kawasan pedalaman, Tun Jugah berjaya berdiri sebaris dengan pemimpin-pemimpin lain seperti dari British dan Semenanjung dalam usaha pembentukan Malaysia.
“Ekspedisi ini bukan sahaja bertujuan memperingati sejarah tetapi juga mengukuhkan hubungan antara ahli Pemuda PBB dari Sibu dan Kapit,” katanya.