SPAOH: Usaha akan terus dipergiatkan lagi pada tahun depan agar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menjadi kawasan pengeluaran makanan utama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas optimis usaha tersebut turut dibantu oleh peruntukan berjumlah RM60 juta daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Rakyat kita mesti dibimbing untuk merebut peluang yang diberikan untuk aktiviti pilihan mereka.
“Kita kini telah mengenal pasti penternakan kelapa sawit, lada, padi, buah-buahan dan sayur-sayuran selain penternakan ayam dan khinzir di samping aktiviti industri kotej seperti membakar, sulaman baju kebaya dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap kepada ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban di Rumah Mendit Unsu di Penom di sini, hari ini.
Uggah berkata bagi tujuan pemasaran, pusat pengumpulan, harga dan pembungkusan bernilai RM17 juta di Bebuling hampir siap dibina.
“Kita dalam proses memesan kemudahan yang berkaitan seperti mesin untuk pengeringan, pembungkusan dan juga pembekuan dalam.
“Dengan projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling dijangka siap pada Ogos tahun depan, ia akan menyediakan pengangkutan pantas produk siap ke luar,” katanya
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata Pertubuhan Peladang dan beberapa agensi lain akan turut membantu mencari pasaran.
Sementara itu, Uggah berkata konsep pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik akan terus diberi penekanan dan perhatian utama.
“Kita sudah mempunyai beberapa orang tempatan yang telah berjaya memiliki kedua-duanya. Kita berharap dapat melatih petani dalam konsep moden ini di Agropark Bebuling.
Beliau berkata ia akan terdiri daripada 65 hektar untuk tujuan rumah hijau dan 300 hektar untuk kegunaan pertanian lain.
Uggah menegaskan adalah kritikal bahawa petani berjaya dalam semua usaha mereka supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka.
“Sarawak telahpun diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi. Tetapi masih terdapat segelintir orang yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan tahap pendapatan mereka. Jadi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada untuk membantu mereka,” katanya.
Sementara itu, Uggah turut melawat tapak projek jambatan Sungai Paku untuk melihat kemajuan pembinaannya.
Jambatan sepanjang 107 meter yang menelan kos RM36 juta itu kini 41 peratus siap dan sedikit lebih awal daripada jadual. Ia dijangka siap pada Oktober tahun depan tetapi beliau berharap kontraktor dapat melakukannya menjelang Ogos.
Oleh Adi Safarman