JIKA dicampur unjuran hasil semua 11 negeri di Semenanjung untuk tahun depan iaitu anggaran kira-kira RM12.83 bilion, ia masih tidak dapat mengatasi unjuran hasil Sarawak sebanyak RM14.2 bilion untuk 2025.
Pernahkah anda terbayang situasi seperti ini? Tetapi inilah faktanya (lihat catatan grafik di sini).
Berdasarkan maklumat yang penulis selidik melalui pembentangan Belanjawan 2025 diumumkan oleh setiap negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, negeri Selangor menduduki tempat ketiga selepas Sarawak dan Sabah, dengan unjuran hasil RMRM2.35 bilion, diikuti Johor (RM2.005 bilion), Terengganu (RM1.99 bilion), Perak (RM1.43 bilion) dan Pahang (RM1.194 bilion).
Negeri lain yang mencatat unjuran hasil 2025 di bawah RM1 bilion adalah Kelantan (RM997.26 juta), Pulau Pinang (RM906.59 juta) dan Kedah (RM790 juta), Negeri Sembilan (RM590 juta).
Bagaimanapun, belum ada maklumat bagi negeri Melaka dan Perlis kerana DUN dua negeri ini belum bersidang untuk mengumumkan bajet 2025, mungkin diadakan selepas pertengahan Disember ini.
Begitu pun, pada 2024 Melaka diunjur meraih hasil RM479.6 juta dan Perlis pula RM112.23 juta untuk 2023 kerana tiada maklumat untuk 2024.
Bagi Melaka dan Perlis, unjuran hasil 2025 nanti kemungkinan tidak berapa jauh bezanya berbanding 2024/2023.
Jadi jangan hairanlah apabila Sarawak bakal mempunyai syarikat penerbangan sendiri, muncul pemegang saham majoriti dalam Affin Bank, bakal memiliki lapangan terbang antarabanga yang baharu, bakal menerokai industri aeroangkasa malah bakal menguasai sumber hasil mahsul di pelantar benua sehingga 200 batu nautika (bukan 12 batu nautika) di perairan Bumi Kenyalang yang kaya dengan gas dan minyak.
Ini belum kira lagi hasil pelaburan yang bakal diraih pada tahun-tahun mendatang dalam sektor tenaga diperbaharui seperti hidrogen, projek solar terapung, hasil gas asli dan cukai spektrum (udara) ke atas syarikat telekomunikasi.
Dalam tempoh setahun dua akan datang, tiada lagi perkhidmatan feri digunakan untuk merentasi sungai utama di negeri ini apabila projek pembinaan 16 jambatan yang menelan kos RM12 bilion siap sepenuhnya – semuanya menggunakan dana negeri sendiri. Malah jangan terkejut kos RM597.58 juta membina Jambatan Muara Lassa di Daro menyamai unjuran hasil 2025 masing-masing di tiga negeri di Semenanjung.
Semua ini berasaskan fakta dan rakyat Sarawak harus bersyukur dengan limpahan rezeki melalui jalan betul berasaskan undang-undang, menuntut hak sendiri dan bukan merampas hak orang, sekali gus menambah kekayaan bumi bertuah ini.
‘Kapal di laut, gedung di darat’ seperti ungkapan usahawan kain kedekut Haji Bakhil, lakonan Udo Omar dalam filem komedi Melayu – Labu dan Labi.
Perhatikan hasil Sabah dan Terengganu agak banyak adalah disebabkan negeri pengeluar minyak.
Ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 pada 15 November lalu, Menteri Kewangannya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, anggaran hasil Sabah sebanyak RM6.445 bilion pada tahun depan disumbangkan menerusi Hasil Cukai sebanyak RM2.744 bilion, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.551bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM1.150 bilion.
Katanya, Hasil Cukai Sabah dijangka dikutip menerusi Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM2.597 bilion selain hasil Bukan Cukai merangkumi royalti Petroleum sebanyak RM1.297 bilion.
SEBAB HASIL PETROLEUM SABAH KURANG DARI SARAWAK
Sejak 1999, Sabah mengenakan SST ke atas minyak sawit mentah yang di hasilkan di Sabah, pada kadar 7.5 peratus.
Misalnya, pada 2022, Sabah kutip cukai jualan negeri ke atas minyak sawit mentah berjumlah RM1.56 bilion (7.5 peratus) dan ini bermakna nilai keseluruhan minyak sawit mentah yang dihasilkan di Sabah adalah sekitar RM20.8 bilion.
Ketika sesi soal-jawab di sidang DUN, Menteri Kewangan Sabah menjelaskan bahawa kutipan SST dibuat Sarawak lebih tinggi berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di Bumi Kenyalang.
“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi. Kita pun dalam usaha untuk meluaskan kutipan SST termasuk produk urea dan ammonia untuk menambahkan lagi kutipan SST Sabah,” katanya.
Ketika membentang Belanjawan 2025 pada 11 November lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak dijangka mengutip sebanyak RM14.2 bilion pada 2025, iaitu kutipan hasil tertinggi pernah diunjurkan dan sumber utama anggaran hasil adalah hasil cukai berjumlah RM6.2 bilion atau 44 peratus daripada jumlah hasil yang dijangkakan pada 2025.
“Ia terdiri daripada RM5.1 bilion melalui cukai jualan negeri (SST), dengan RM4.1 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain, RM820 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirong sawit mentah, RM75 juta daripada loteri, RM60 juta daripada produk aluminium, RM29 juta daripada produk kayu dan RM6 juta daripada arang batu.
“Royalti air mentah diunjurkan menyumbang RM620 juta daripada anggaran hasil, RM100 juta daripada royalti hutan, premium dan tarif kayu balak dan RM422 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan Sabah dijangka mengutip RM2.45 bilion setahun secara berterusan menerusi bayaran royalti dan cukai jualan negeri (SST) daripada sektor minyak dan gas, namun ia juga bergantung kepada pergerakan harga minyak semasa.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada sidang DUN 18 November lalu menjelaskan kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM1.997 bilion tahun depan iaitu RM74.10 juta daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai.
Selain itu, RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan, iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion.
Bagaimana pula dengan Pulau Pinang yang sebelum ini diuar-uarkan menarik banyak pelaburan? Hakikatnya Pulau Pinang sekali lagi mencatatkan unjuran defisit sebanyak RM33.63 juta dalam Belanjawan 2025 selepas 14 kali mengalami belanjawan defisit sejak 2011.
Ini diakui Ketua Menterinya Chow Kon Yeow ketika membentang Belanjawan 2025 pada 22 November lepas dan menyatakan secara purata, kerajaan negeri menjana hasil sebenar sebanyak RM601.81 juta setahun bagi tempoh lima tahun terkini, iaitu dari 2019 hingga 2023.
REZEKI TIDAK DATANG BERGOLEK
Selangor? Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari anggaran hasil negeri itu diunjur sebanyak RM2.35 billion untuk 2025 iaitu meningkat RM150 juta daripada anggaran 2024 iaitu RM2.2 billion.
Amirudin berkata hasil tahun depan akan dipacu oleh rancangan baharu negeri bagi Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Prinsip Pencemar Membayar (PPP).
“Kami berjaya mengadakan rancangan baharu dengan ZDP dan PPP yang boleh menyumbang lebih RM72 juta hingga RM80 juta kepada pendapatan Selangor,” katanya.
Pada 21 November lalu, kerajaan Johor membentangkan Belanjawan Johor 2025 berjumlah RM1.999 bilion.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz berkata Johor mencatat sejarah apabila diunjurkan bakal menerima hasil RM2.005 bilion tahun ini, pertama kalinya negeri itu merekodkan hasil melebihi RM2 bilion selain Johor turut mencatatkan belanjawan lebihan RM5.12 juta, untuk tiga tahun berturut-turut.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 29 November lalu berkata, pihaknya menyasarkan kutipan hasil kerajaan negeri mencecah RM1.194 bilion tahun depan iaitu peningkatan lima peratus.
“Kini, kutipan RM1 bilion bukan lagi satu angka yang kita sasarkan, tetapi ia merupakan satu penanda aras yang harus kita capai dan atasi setiap tahun,” katanya.
Sebenarnya, Premier Sarawak pernah menyatakan jika dicampurkan hasil pendapatan semua negeri lain, belum dapat mengalahkan Sarawak apabila berucap pada majlis Ngiling Bidai Sambutan Gawai Dayak Daerah Gedong di RTC Munggu Lalang di Gedong, pada 16 Jun lepas.
Tetapi ramai juga tidak faham maksud Abang Johari ketika itu kerana sesetengahnya ingat bagaimana boleh ‘mengalahkan’ Selangor yang menempatkan banyak industri dan kilang di Lembah Klang.
“Kekayaan Sarawak sehingga mencapai pendapatan RM13 bilion ketika ini (Jun 2024) adalah hasil kerja kuat kerajaan negeri, bukannya datang bergolek.
Negeri lain mana ada pendapatan RM13 bilion, kalau campur semuanya pun, tidak dapat kalahkan Sarawak. Ini sebab kita kerja kuat, rezeki tidak ada datang bergolek, rezeki hanya datang kalau kita kerja kuat.
“Banyak pihak cemburu dengan kejayaan Sarawak sehingga ada yang memperlekehkan negeri ini. Saya tidak ambil peduli kutukan pihak luar itu, sebaliknya akan terus fokus untuk membangunkan Sarawak.
“Apabila kita membangun, memang ada yang dengki, tetapi bagi saya tidak mengapa. Orang perlekeh saya, biarlah. Asal saya ikhlas dan dapat pahala kerana niat kita baik,” kata pada majlis itu.
Ketika membentang Belanjawan Sarawak 2025 pada 11 November lepas, Abang Johari berkata, kutipan hasil Sarawak dijangka mencecah RM14 bilion tahun ini, mengatasi kutipan RM13.3 bilion tahun lalu.
Setakat Oktober tahun ini, Sarawak berjaya mengutip hasil berjumlah RM12.2 bilion.
“Berdasarkan prestasi semasa, kutipan hasil kita untuk tahun ini hampir RM14 bilion dan ini akan menjadi satu lagi pencapaian yang memecahkan rekod, menetapkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah Sarawak,” katanya.
Apa yang rakyat harapkan ialah semua agensi kerajaan sama ada negeri atau persekutuan, lebih peka dan bertindak pantas apabila menerima aduan orang ramai seperti masalah bekalan elektrik terputus, gangguan bekalan air, masalah internet, jalan berlubang dan sebagainya.
Kekayaan negeri sepatutnya diseimbangkan dengan rasa selesa rakyat hidup di bumi bertuah ini.
Oleh KADIR DIKOH
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.