KUCHING: Sektor hidrogen dijangka menyumbang RM2.5 hingga RM3.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak setiap tahun selepas 2028.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini seiring dengan wawasan untuk menghasilkan 240,000 tan hidrogren menjelang 2028.
Katanya, KDNK Sarawak, yang dipacu oleh pelaburan strategik dalam infrastruktur dan teknologi hijau, diunjurkan 5.0 peratus pada 2025.
“Usaha ini bukan sahaja akan menguatkan sekuriti tenaga, malah memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Bajet Sarawak: Bersama Membina Masa Depan Sejahtera di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak juga sedang memajukan inisiatif seperti Projek Solar Terapung Murum, dan apabila siap kelak akan menjadi pemasangan projek solar hidro terapung hibrid terbesar di dunia.
Katanya, projek Ladang Solar Terapung Batang Ai pula mampu menjana tenaga sebanyak 50 megawatt (MW).
Beliau berkata usaha Sarawak dalam bidang tenaga diperbaharui ini sekali gus membolehkan Malaysia mengukuhkan unjuran ekonomi antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus pada tahun ini meskipun ketidaktentuan landskap ekonomi global pada masa kini.
Abang Johari berkata Belanjawan Sarawak 2025 pula adalah komponen utama dalam usaha kerajaan Sarawak menjayakan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, bajet yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini bertujuan untuk mengubah wilayah Sarawak menjadi sebuah wilayah berpendapatan tinggi menerusi amalan lestari, inovasi yang keterangkuman sosial.
“Perkara ini selaras dengan dengan Bajet Malaysia Madani 2025 yang menekankan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kemajuan negara dipacu oleh pertumbuhan hijau, penggunaan teknologi dan pembangunan yang mampan.
“Peruntukan Belanjawan Malaysia Madani 2025, yang memberi komitmen RM5.9 bilion kepada pembangunan di negeri ini membolehkan projek penting dalam aspek infrastruktur, tenaga dan pendidikan dapat memajukan Sarawak sambil mengukuhkan unjuran ekonomi kita dengan objektif kebangsaan,” katanya.