KERJASAMA padu antara masyarakat, pihak kerajaan dan bukan kerajaan serta agensi berkaitan menjadi ’nadi’ penting dalam membasmi wabak rabies yang kini menjadi endemik di pelbagai pelosok di Sarawak.
Pegawai Kanan Veterinar Klinik Animal Central, Dr. Davies Belayong berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada usaha kolektif itu.
”Sehubungan itu, kita komited untuk melaksanakan Program Vaksinasi Anti-rabies Anjing di kawasan pedalaman bagi mencapai matlamat memerangi rabies. Program ini telah dilaksanakan sejak 2018 namun tergendala akibat Covid-19 pada 2019 dan disambung semula pada 2023.
”Pada 2023, kita bekerjasama dengan Pasukan Penguatkuasa Penampan Imun (IBET) dan Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS) bagi menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Menurutnya, usaha itu bukan hanya memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat malah meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti berkenaan penyakit yang membawa maut itu.
Pada tahun ini, program itu dilaksanakan di rumah panjang di Ulu Delok, Batang Ai, Nanga Sumpa yang melibatkan tujuh buah rumah panjang iaitu Rumah Ninting Nanga Jambu, Rumah Andah Lembang Nanga Sumpa, Rumah Janggong Nanga Pala Taong, Rumah George Tapang Pungga, Rumah gupi nanga Delok, Rumah Sawan Menyang Sedi dan Rumah Manggat Menyang Taih.
USAHA MEMBENDUNG RABIES MENERUSI PROGRAM
Jelasnya yang mempunyai pengalaman melebihi 18 tahun dalam bidang itu, pelaksanaan program itu tidak hanya memberi fokus kepada pemberian vaksin anti-rabies kepada anjing dan kucing malah meningkatkan penjagaan Kesihatan haiwan peliharaan di kawasan terlibat.
“Sememangnya pemberian vaksin anti-rabies ini merupakan matlamat utama kita namun, kita turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti memberi ubat cacing, mengembiri anjing jantan, memberi rawatan parasit darah dan memberi ubat kutu.
“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan IBET dan UPKS untuk melakukan pemvaksinan tahunan kepada haiwan peliharaan di kampung yang terpilih,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga komited untuk meningkatkan kesedaran komuniti berkenaan wabak itu terutamanya dalam kalangan pelajar di sekolah rendah.
Jelasnya, sesi ceramah yang diadakan secara percuma di sekolah di kawasan kampung itu menjadi landasan penting untuk memberikan kesedaran anak-anak tentang bahaya penyakit tersebut serta langkah pencegahan penting yang perlu diambil.
”Justeru, suntikan anti-rabies ini kita berikan juga kepada kucing terutamanya di kawasan yang dipenuhi oleh anak-anak seperti sekolah. Hal ini kerana kita khuatir masih ada antara mereka yang tidak melaporkan kepada ibu bapa sekiranya dicakar atau digigit oleh haiwan peliharaan mereka.
”Oleh itu, ini sebahagian langkah awal yang kita lakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa program itu juga menyediakan platform penting kepada doktor veterinar untuk meningkatkan kemahiran mereka terutamanya dalam memberikan rawatan dan mengesan penyakit.
Tambahnya, pelbagai khidmat pemeriksaan kesihatan fizikal anjing dan kucing dilakukan semasa program bagi mengesan penyakit yang menyerang haiwan peliharaan penduduk di kawasan itu sekali gus bagi memberikan rawatan yang bersesuaian.
BERI MANFAAT KEPADA EKOPELANCONGAN
Meskipun berhadapan pelbagai cabaran dalam melaksanakan program itu, Dr. Davies berkata pihaknya menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurangnya 80 peratus populasi anjing di kawasan terlibat.
Selain memelihara kesejahteraan masyarakat di kawasan itu, katanya, program itu juga secara tidak langsung penting bagi memelihara ekonomi masyarakat di kawasan itu yang berasaskan ekopelancongan.
”Selain mengusahakan tanaman lada dan akuakultur, mereka juga bergantung kepada ekonomi berasaskan pelancongan yang mana mereka menerima pendapatan lebih apabila pelancong dari luar melawat ke kawasan mereka.
”Pelancong yang hadir semestinya lebih tertarik kepada hidupan liar seperti orang utan dan sebagainya. Meskipun setakat ini penyakit rabies hanya ditemui pada anjing dan kucing, kita khuatir ia dapat berjangkit ke haiwan lain kerana ia mudah menyerang haiwan berdarah panas.
”Anjing di kampung-kampung ini bukan sekadar haiwan peliharaan di rumah malah mereka juga sentiasa menemani pemilik mereka masuk ke dalam hutan. Sekiranya anjing-anjing ini bebas daripada penyakit rabies, sihat tubuh badan, maka kita tidak akan khuatir mereka akan menyebarkan penyakit lain kepada hidupan liar kita.
”Sekiranya hidupan liar kita terpelihara dari penyakit seperti ini, maka ekonomi penduduk (berasaskan ekopelancongan) juga akan sentiasa terjamin. Justeru, program ini turut memberi impak positif kepada ekopelancongan di kawasan tersebut,” jelasnya.
Oleh Rynna Sha’erra