SALAH sebuah parti terawal yang pernah mewarnai politik Sarawak pada 1960-an adalah Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA).
Penubuhan parti ini seiring dengan kerancakan kegiatan politik berparti di Sarawak dan wujudnya cadangan penubuhan Malaysia.
Jika ditinjau lebih dalam, BARJASA merupakan parti kelima ditubuhkan di Sarawak.
Oleh itu, BARJASA menjadi alternatif kepada penduduk Sarawak untuk terlibat dalam kegiatan berparti.
Penubuhan
BARJASA ditubuhkan oleh masyarakat Bumiputera di Bahagian Ketiga.
Parti ini ditubuhkan pada 4 Disember 1962. Teras utama parti ini adalah memperjuangkan kebajikan dan hak kaum Bumiputera.
Selain itu, BARJASA dikatakan juga bertujuan untuk melawan komunis.
Tambahan daripada itu, BARJASA juga mempunyai matlamat menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beberapa sarjana sejarah melihat penubuhan BARJASA ini datang daripada bekas-bekas perjuang antipenyerahan di Sarawak.
Mereka ini enggan menyertai parti pimpinanan Datuk Bandar Abang Mustapha, iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS).
Abang Mustapha bagi pemimpin yang menubuh BARJASA adalah golongan propenyerahan.
Oleh itu, tidak wajar bagi golongan antipenyerahan menyertai parti tersebut.
Namun semasa penubuhan PANAS, terdapat juga ahli antipenyerahan terlibat dalam mesyuarat penubuhan parti tersebut.
Hanya Abang Ikhwan Zaini yang antipenyerahan menganggotai parti itu.
Tokoh-tokoh antipenyerahan lain pula mengorak langkah untuk membina satu kekuatan baharu bagi golongan antipenyerahan.
Mereka mengambil masa hampir dua tahun, barulah BARJASA ditubuhkan.
Pemimpin
Ahli-ahli BARJASA bersetuju memilih Tuanku Bujang sebagai pengerusi BARJASA dan Philip Jitam pula dipilih sebagai timbalan presiden manakala setiausaha agungnya pula Alfred Mason.
Kepimpinan BARJASA ini juga terdiri daripada golongan agama seperti Mohd. Mortadza Daud, A. Kadir Hassan dan Busrah Osman.
Selain Philip Jitam, beberapa lagi tokoh antipenyerahan menyertai parti ini adalah Abang Han Abang Ahmad, Ajibah Abol dan Mohd. Su’ut Tahir serta Ainnie Dhobby.
Terdapat dua anak muda berpendidikan tinggi menyertai parti tersebut, iaitu Abdul Rahman Ya’kub dan Abdul Taib Mahmud.
Walaupun Abdul Rahman Ya’kub merupakan penulis dan merangka perlembagaan PANAS, tetapi beliau tidak menyertai parti tersebut.
Dari segi keahlian, parti ini lebih kepada penduduk Bumiputera manakala kaum Cina tidak mempunyai halangan untuk menyertai BARJASA.
Terdapat seorang ahli daripada orang Cina dilantik dalam Jawatankuasa Eksekutif BARJASA.
Menariknya, parti ini mempunyai slogan yang melambangkan semangat perjuangan tinggi mereka. Slogan tersebut adalah “Mansang-Berkorban”.
Perjuangan
Sejurus sahaja penubuhan parti itu, usaha telah dijalankan untuk menyuarakan pendapat mereka tentang isu-isu semasa di Sarawak.
Antara perkara awal yang mereka sentuh adalah mengenai tangkapan pihak komunis oleh British.
Mereka menyokong usaha membanteras kegiatan komunis di Sarawak.
Oleh itu apabila beberapa ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang ditangkap kerana kaitan dengan komunis, BARJASA mengalu-alukan tindakan ini.
Mereka juga memberi sokongan kepada kerajaan ketika itu dalam mengharamkan dua surat khabar Cina yang mempunyai pengaruh komunis.
Hal ini membawa ketegangan antara BARJASA dan SUPP. Malah, setiausaha SUPP menuduh BARJASA “menangguk di air keruh”.
Malaysia
Mengenai cadangan Tunku Abdul Rahman untuk menubuh satu gabungan besar, BARJASA juga memberi sokongan kepada rancangan ini.
Mereka juga memberi beberapa syarat untuk menjamin masa depan Sarawak serta penduduknya dalam pembentukan Malaysia nanti. Sebagai parti pro-Malaysia, BARJASA telah menyertai Perikatan Sarawak yang merupakan gabungan parti politik yang pro-Malaysia.
Namun, BARJASA tidak dapat duduk semeja dengan PANAS yang juga pro-Malaysia.
Akhirnya PANAS keluar Perikatan Sarawak dan menentang calon-calon Perikatan Sarawak dalam Pilihan Raya 1963.
Keputusan pilihan raya tersebut menyebelahi Perikatan Sarawak apabila sejumlah besar calon Bebas menyokong mereka.
Hasil kemenangan itu, BARJASA mendapat lima kerusi dalam Council Negri.
Oleh kerana BARJASA adalah sebahagian daripada Perikatan Sarawak, maka mereka layak dipilih menggangotai kabinet pimpinan Stephen Kalong Ningkan selepas pilihan raya itu.
Dua ahli BARJASA, iaitu Abdul Taib Mahmud dan Awang Hipni Pengiran Annu dilantik sebagai anggota Kabinet Sarawak.
Abdul Taib Mahmud memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Kerja Raya dan Awang Hipni Pengiran Annu sebagai Menteri Negeri.
Di peringkat Persekutuan atau Dewan Rakyat pula, seramai lima ahli BARJASA dipilih untuk menganggotai dewan tersebut, manakala wakil tunggal BARJASA iaitu Abdul Rahman Yaákub dilantik sebagai timbalan menteri dalam kabinet Tunku Abdul Rahman.
Krisis
Selepas merdeka, Perikatan Sarawak mengalami masalah politik apabila berlaku krisis kepimpinan Ketua Menteri Sarawak.
Terdapat dua krisis politik berlaku di Sarawak ketika itu.
Pertama pada 1965 apabila isu tanah menjadi isu besar yang membawa bantahan daripada BARJASA bersama Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan PANAS.
Krisis ini berkesudahan dengan penyelesaian tuntas dan bijaksana oleh Temenggung Jugah.
BARJASA yang keluar daripada Perikatan Sarawak juga telah diterima masuk dalam Perikatan Sarawak semula. Abdul Taib Mahmud dan Awang Hipni Pengiran Annu kembali menyertai kabinet negeri.
Krisis kedua berlaku apabila seramai 32 ahli Council Negri menandatangani petisyen hilang kepercayaan kepada ketua menteri.
Semua ahli Council Negri dari BARJASA memberi sokongan kepada petisyen tersebut.
Krisis ini berkesudahan dengan pelantikan ketua menteri baharu.
Kedudukan BARJASA dipulihkan semula dalam kabinet negeri pimpinan Penghulu Tawi Sli.
Dua wakil mereka sebelum ini dilantik semula dalam kabinet Sarawak.
Penyatuan
Selepas pembentukan Malaysia, Tunku Abdul Rahman berhasrat untuk menyatukan BARJASA dan PANAS.
Beliau mengatakan bahawa tidak kisah apa pun bentuk penyatuan tersebut.
Alternatif yang ada dalam penyatuan adalah untuk melebarkan UMNO ke Sarawak.
Idea ini dipersetujui oleh BARJASA dan wakil mereka telah dilantik dalam jawatankuasa penyelaras bersama PANAS.
Namun usaha mengembangkan UMNO dengan penyatuan dua parti ini terhenti disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Alternatif untuk menyatukan semula kedua-dua parti muncul semula selepas krisis 1966.
Akhir November 1966, kedua-dua parti disatukan menjadi Parti Bumiputera. Parti ini merupakan langkah pertama dalam pembentukan Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 1973.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).