MIRI: Etnik Kiput adalah contoh terbaik masyarakat yang boleh hidup dalam keadaan aman damai walaupun ada yang beragama Kristian dan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, perbezaan kepercayaan dan agama tidak menjadi penghalang untuk perpaduan masyarakat Kiput dan tidak menjadi punca perselisihan dan perpecahan.
“Orang Kiput yang beragama Islam masih anggap mereka sebagai orang Kiput dan masih berbahasa Kiput.
“Sama seperti Orang Kiput yang beragama Kristian masih anggap mereka sebagai orang Kiput dan masih berbahasa Kiput.
“Perbezaan agama tidak memutus talian kekeluargaan kita atau menjejas status kita sebagai orang Kiput. Masyarakat Kiput adalah bukti bahawa perpaduan dapat dicapai dalam kepelbagaian,” katanya.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada majlis makan malam amal bagi mengumpul dana Persatuan Lakiput Sarawak di sini malam tadi.
Etnik Kiput atau Lakiput tergolong dalam kumpulan Orang Ulu.
Gerawat berkata, Sarawak mengamalkan cara hidup aman damai dalam kepelbagaian kaum.
“Ini satu cara hidup masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang kita ingin pertahankan.
“Persatuan kita main peranan penting dalam menyatupadu masyarakat Kiput sebab semua orang Kiput layak jadi ahli Persatuan Lakiput tanpa mengira latar belakang, kepercayaan dan pendirian politik ahli-ahli,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Kiput supaya bersatu dalam persatuan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk masa depan yang lebih terjamin.
“Jika kita masyarakat minoriti seperti masyarakat Kiput, Berawan, Saban dan Kelabit tidak bersatu dan sehaluan, kita tidak dapat bersaing dan maju ke depan bersama kaum-kaum lain dan akan ketinggalan,” katanya.