MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola bersedia berdepan cabaran untuk memulihkan nasib pasukannya selepas melalui tempoh terburuk dalam kerjayanya menjelang pertembungan getir menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, di Anfield esok (awal pagi Isnin waktu Malaysia).
City kini melalui enam perlawanan tanpa kemenangan, termasuk lima kekalahan berturut-turut, sebelum seri 3-3 dalam Liga Juara-Juara menentang Feyenoord, kelmarin.
Dalam perlawanan itu, mereka melepaskan kelebihan tiga gol dalam 15 minit terakhir.
Kekalahan di Anfield bakal meletakkan juara bertahan itu 11 mata di belakang Liverpool, yang kini selesa di puncak liga.
Guardiola, yang baru sahaja melanjutkan kontraknya di Etihad sehingga 2027, mengakui tempoh sukar ini menjadi salah satu faktor yang mendorongnya untuk kekal.
“Saya mahu peluang untuk mencuba dan memperbaiki keadaan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
“Saya tidak akan lari. Saya mahu berada di sini, membina semula pasukan dari sekarang hingga akhir musim dan untuk musim-musim seterusnya.”
Guardiola telah mencipta sejarah bersama City, termasuk enam kejuaraan Liga Perdana dalam tujuh musim dan gelaran treble pada 2023.
Namun, dia mengakui pasukannya kini kurang keyakinan.
“Dalam situasi sukar, kami tidak sekuat seperti biasa. Dulu, jika kami mendahului 3-0, walaupun tidak menambah gol, perlawanan sudah dianggap selesai. Sekarang, saya tidak tahu bagaimana pasukan akan bertindak balas,” katanya.
Beliau menyedari perlawanan di Anfield adalah ujian terbaik untuk mengukur kestabilan pasukan.
“Liverpool pasti akan mencipta detik-detik tekanan dan momentum mereka. Di situlah kami perlu berdiri teguh sebagai satu pasukan,” tambahnya. – AFP