SIBU: Sebuah sekolah kebangsaan baharu akan dibina kerana SK Batang Lassa sekarang mengalami masalah hakisan tanah yang serius sehingga boleh menjejaskan kehidupan dan keselamatan murid di situ.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan tapak seluas 3.2 hektar untuk tapak perpindahan sekolah itu nanti.
“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberi peruntukan membina sebuah sekolah baharu yang lengkap dengan asrama serta keperluan lain.
“Sekolah ini kalau ikut perancangan kita ialah (bernilai) RM65 juta termasuk kos pengambilan tanah dan sebagainya. Saya telah difahamkan pampasan yang sewajarnya bagi tanah yang telah kita kenalpasti itu telah dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekolah ini telah menjadi keutamaan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Sekolah ini unik, ia sekolah berasrama dan apabila dipindahkan ke tempat baharu nanti bekalan elektrik sudah ada dan projek bekalan air RM16.5 juta telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.
Oleh itu katanya, lanskap sosioekonomi Daerah Daro akan terus mengalami perubahan besar menerusi pelaksanaan projek-projek pembangunan yang berpaksikan rakyat.
Kerajaan juga kata beliau telah meluluskan peruntukan RM95 juta untuk membina jalan sepanjang kira-kira 14 kilometer menghubungkan tujuh rumah panjang di Batang Lassa.
Selain itu, satu lagi jalan yang diluluskan kerajaan sebanyak RM80 juta juga akan dilaksanakan.
“Di peringkat akhir sekali dimana pernilaian tender dan insya-Allah akan ditawarkan selewatnya mungkin dalam awal tahun depan untuk perlaksanaanya,” katanya.
Safiee berkata, jalan sepanjang 11 kilometer itu akan dibina dari Nanga Singat terus ke Sungai Lengan dan seterusnya juga akan menyambung Jalan Sibu-Tanjung Manis.
“Ini juga akan menambahbaik kehidupan di kawasan ini, jalan ini akan melalui kawasan-kawasan pertanian dan sudah pastinya akan merancakkan aktiviti pertanian rakyat,” katanya.
Terdahulu, Safiee yang juga Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah menyempurnakan majlis perasmian Program Pemantapan Personel Ketua Masyakat Ketua Kaum (KMKK) DUN N.43 Daro di Kompleks Islam Sibu.
Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Sibu, Haider Kowel Bete; wakil Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Sophia Gira dan Temenggung Stanley Geramong Bandar.
Oleh AKUN GIMAN