KUCHING: Rakyat Sarawak tidak harus berpuas hati dengan situasi semasa kes Covid-19 di negeri ini dan mesti sentiasa berwaspada, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak memerlukan pertolongan, kerjasama, pemahaman dan solidariti rakyat Sarawak untuk mencegah penularan wabak itu sekali gus mengelak daripada terjadinya gelombang kedua seperti di Beijing, China.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai empat kes positif Covid-19 direkodkan Sarawak pada Khamis yang melibatkan dua warga tempatan dan dua warganegara Indonesia.
“Seorang warga emas tempatan yang disahkan positif selepas menjalani ujian Covid-19 sebagai salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum menjalani pembedahan.
“Manakala seorang lagi tempatan adalah seorang lelaki yang membuat saringan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Penjejakan kontak rapat yang agresif sedang giat dilakukan, namun ia tidak mudah kerana bukan senang untuk mengingati kembali orang yang anda temui dalam tempoh 14 hari ini,” katanya dalam catatan di Facebooknya, semalam.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa itu, sehubungan itu Kerajaan amat menggalakkan penggunaan teknologi dan applikasi seperti CovidTrace dan MySejahtera.
“Kita telah memberi nasihat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai pengawasan masyarakat yang sistematik.
“Rawatan awal akan menyelamatkan nyawa dan mencegah lebih banyak orang dijangkiti,” tegasnya.
Ujarnya, setiap rakyat Sarawak mesti membantu dan memainkan peranan mereka dengan memuat turun aplikasi tersebut supaya pihak Kerajaan dapat melakukan penjejakan dengan lebih berkesan serta menghentikan penularan Covid-19.