KUALA LUMPUR: Cadangan menetapkan dasar baharu berkaitan tempoh penjawat awam menduduki kuarters kerajaan sedang diteliti Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata berdasarkan perbincangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan) dengan pihak BPH, sekiranya dasar pemisah (exit policy) bagi kuarters ingin dirangka, ia tidak seharusnya dilaksanakan begitu mudah, seperti hanya menetapkan tempoh maksimum 10 tahun untuk penghuni.
“Sebaliknya, perlu ada pertimbangan khas bagi penghuni yang mempunyai keperluan tertentu, seperti faktor kesihatan atau perancangan untuk bersara dan kembali ke kampung halaman.
“Golongan ini wajar diberi kelonggaran untuk terus mempunyai kuarters tanpa had masa tertentu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang mewakili Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) sama ada kerajaan akan memperkenalkan exit policy kepada penghuni kuarters untuk menggalakkan penghuni terutama yang menetap melebihi 10 tahun memiliki rumah sendiri bagi memberi peluang kepada penjawat awam baharu ditawarkan kuarters dan meringankan beban sewa.
Fadhlina berkata ketika ini, dasar keutamaan sedia ada memberi perhatian khusus kepada penjawat awam yang menghadapi musibah atau tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya untuk menerima tawaran menduduki kuarters dengan lebih awal.
Bagi penjawat awam muda yang baru dilantik, beliau berkata mereka perlu menunggu giliran melalui saluran biasa seperti yang telah ditetapkan.
Berhubung Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Fadhlina berkata hingga kini, sebanyak 36,479 penjawat awam telah menandatangani perjanjian jual beli dan 87 peratus pembeli, iaitu 31,942 orang ialah mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.
“Data ini menunjukkan bahawa kumpulan penjawat awam yang disasarkan telah menerima manfaat dan faedah daripada pelaksanaan program PPAM,” katanya dan menambah permohonan PPAM ketika ini dikhususkan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Fadhlina berkata kerajaan telah memperuntukkan lebih RM466 juta dalam pembentangan Belanjawan 2025 bagi meneruskan program PPAM di seluruh negara melalui kerjasama awam–swasta.
Beliau berkata daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat, 52.95 peratus masih belum memiliki rumah dan majoritinya adalah dalam kalangan kumpulan pelaksana.
— BERNAMA