KUCHING: Projek Hab Rendah Karbon Kuching dijangka mampu menjana pelaburan sehingga RM200 bilion bagi memperkukuh pembangunan sektor tenaga rendah karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini akan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi tenaga rendah karbon.
Katanya, inisiatif ini dijangka akan menjadi pemangkin perubahan kepada rantau Asia Tenggara.
“Hab Rendah Karbon Kuching, yang menjadi asas kepada perjalanan peralihan tenaga Sarawak, dijangka menarik pelaburan sehingga RM200 bilion dan membuka peluang di seluruh negeri.
“Projek ini akan meletakkan Sarawak sebagai peneraju ekonomi tenaga rendah karbon dengan memacu inovasi teknologi, pertumbuhan industri, dan menyokong peralihan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pelan Hala Tuju Gas Sarawak di sini, hari ini.
Abang Johari berkata projek tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga semasa, malah menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan, menyokong kemajuan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran projek ini menggariskan visi jelas Sarawak untuk merealisasikan masa depan yang mampan.
“Hab Rendah Karbon Kuching dan projek-projek lain di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak mencerminkan komitmen Sarawak untuk memainkan peranan utama dalam agenda pembangunan Malaysia.
“Ini sejajar dengan aspirasi Sarawak serta matlamat nasional dan serantau ke arah masa depan yang mampan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal