KUCHING: Kepakaran jurutera dalam pelbagai bidang diperlukan bagi membantu Sarawak membangunkan tiga projek utama yang dirancang bermula tahun depan hingga 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, suntikan RM100 bilion yang diumumkannya sebelum ini merangkumi tiga projek strategik iaitu, pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu dan pembangunan infrastruktur elektrik, air dan telekomunikasi.
Katanya, khidmat pakar dalam bidang kejuruteraan amat diperlukan untuk bersama-sama menjayakan projek bagi tempoh lima tahun ini malah dijangka memakan masa melebihi tempoh berkenaan.
“Banyak kerja kejuruteraan diperlukan, seperti jurutera hidraulik yang benar-benar mahir dalam bidang ini terutamanya dalam sistem air.
“Ini semua projek besar memandangkan ia melibatkan terminal gas dan melibatkan sistem perpaipan. Di sini, kita memerlukan kepakaran jurutera dalam bidang itu untuk pengagihan gas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Abang Johari memberi bayangan bahawa kerja-kerja pembinaan pelabuhan laut dalam ini akan melibatkan pengwujudan ‘pulau’, namun tidak dijelaskan lebih lanjut.
Sementara itu, inisiatif untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa sendiri bertepatan dengan hasrat Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri apabila persetujuan jual beli MASwings akan dimuktamadkan bulan hadapan.
Beliau berkata kepakaran kejuruteraan dalam bidang pembuatan komponen kapal terbang pula diperlukan memandangkan wilayah ini mempunyai hala tuju untuk mengeluarkan komponen ini pada masa hadapan.
“Berkemungkinan kita juga memerlukan jurutera dalam bidang ini, untuk mengeluarkan komponen kapal terbang kita sendiri, contohnya seperti sayap, komponen pesawat dan sebagainya.
“Apabila kita dapat mengeluarkan komponen-komponen seperti ini, ia dapat membantu kita mengeluarkan kapal terbang kita sendiri,” katanya
Dalam pada itu jelasnya, kepakaran dalam bidang aeroangkasa tidak dilupakan memandangkan Kerajaan Persekutuan sudah mengenal pasti kedudukan di Sarawak sebagai platform untuk melancarkan satelit ke angkasa lepas.
“Kita akan meneruskan usaha kita untuk memastikan elektrik dan air dapat disalurkan ke seluruh negeri, mengambil kira kepentingan jaringan telekomunikasi yang memerlukan satelit.
“Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti Sarawak berpotensi untuk melancarkan satelit ke angkasa, dan ini memerlukan jurutera aeroangkasa,” katanya.
Sebagai langkah awal, kata Abang Johari, Sarawak melalui Universiti i-Cats telah melancarkan fakulti kejuruteraan aerongkasa untuk melatih anak-anak Sarawak dalam bidang ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali.
Hadir sama, Presiden IEM Profesor Ir Jeffry Chiang Choong Luin; Pengerusi IEM Cawangan Sarawak, Ir Stephanie Sim Hui Kheng dan Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam IEM Sarawak, Ir Dr Angelia Liew San Chuin. – EDISI UKAS