KOTA SAMARAHAN: Subsidi sebanyak RM14,805 sehektar diberikan bagi kos penanaman semula di Sarawak dan Sabah bagi membantu pekebun kecil.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata subsidi itu disalurkan secara berfasa, melibatkan pembiayaan anak benih, pembajaan, dan penyelenggaraan sehingga kebun mampu menghasilkan getah.
“Pendekatan ini memastikan peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya, berbanding pemberian sekali gus yang mungkin tidak memberi impak kepada produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program GKKG dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita RISDA Sarawak di Dewan Pertubuhan Peladang Samaraham, di sini, hari ini.
Rubiah Wang memaklumkan, Sarawak menjadi antara negeri utama dalam program penanaman semula getah yang sedang giat dilaksanakan.
Katanya, setakat 2024, sebanyak 2,670 hektar tanah telah ditanam semula di negeri ini dengan tumpuan di kawasan seperti Saratok, Betong, Sri Aman, Lubok Antu, dan Sarikei.
Beliau berkata peruntukan RM27.18 juta telah disalurkan untuk membaik pulih kawasan kebun getah terbiar di Samarahan dan Betong.
Katanya, inisiatif ini sebahagian daripada program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah (GKKG) bertujuan membangunkan semula kebun-kebun getah terbiar serta memastikan ia kembali mengeluarkan hasil.
“Kita mengambil pendekatan baharu dengan mengarahkan anak syarikat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengambil alih kebun yang tidak diusahakan.
“Hasil jualan getah daripada kebun yang dibaik pulih akan diberikan kepada pemilik dalam bentuk dividen,” katanya.
Rubiah berkata isu kebun getah terbiar dan tidak ditoreh terus menjadi cabaran utama bagi sektor getah negara, termasuk di Sarawak.
Katanya, sebanyak 47,000 hektar kebun getah dikenal pasti terbiar di seluruh negara.
Beliau turut menekankan bahawa pembaziran akibat kebun getah yang terbiar memberikan kesan ekonomi besar kepada kerajaan.
“Pokok getah ada, tetapi tidak mengeluarkan hasil. Ini satu kerugian yang tidak sepatutnya berlaku,” tambahnya.
Mengulas punca kebun getah terbiar, beliau menyatakan harga getah yang rendah menjadi sebab utama. Untuk mengatasi cabaran ini, kerajaan memberikan subsidi tambahan bagi memastikan harga getah kekal pada RM3.55 sekilogram.
Bagaimanapun katanya, prosedur tuntutan subsidi yang rumit dan lokasi pejabat RISDA yang jauh dari kawasan luar bandar menambah kesukaran bagi pekebun kecil.
“Jika mereka tidak berminat, kebun ditinggalkan begitu sahaja. Oleh itu, RISDA memainkan peranan memastikan komoditi ini kekal sebagai sumber ekonomi negara dengan langkah-langkah proaktif,” katanya.
Tambah beliau, RISDA kini menjalankan kajian untuk mendapatkan data lengkap mengenai keluasan tanah terbiar di Sarawak dan melaksanakan pemulihan di kawasan Samarahan, Serian, dan Betong sebagai permulaan.
Melalui usaha-usaha ini, Rubiah optimis kebun getah terbiar dapat dihidupkan semula, sekali gus menyumbang kepada industri getah negara.
“Separuh daripada pemilik kebun telah menunjukkan minat untuk mengusahakan semula tanah mereka, manakala selebihnya akan diambil alih oleh RISDA Plantation,” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT